Anda di sini

Lebih setahun pembangkang gagal lantik ketua di Melaka

Advertisement

MELAKA: Lebih setahun berlalu sejak anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Goh Leong San daripada DAP meletak jawatan sebagai ketua pembangkang DUN Melaka, namun sehingga semalam pakatan pembangkang masih gagal melantik ketua dalam kalangan mereka.

Menjelang persidangan DUN Melaka selama empat hari bermula Isnin ini, Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad masih belum menerima surat pelantikan ketua pembangkang baharu setelah Goh meletak jawatan pada 8 Okt tahun lepas.

Othman berkata pihaknya telah mengutus surat kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selepas peletakan jawatan Goh, bagi parti itu melantik ketua pembangkang yang baharu, bagaimanapun tiada jawapan sehingga hari ini.

“Sukar untuk menyelaras urusan berkenaan dengan persidangan DUN sekiranya tiada ketua pembangkang, malah perjalanan dewan (DUN) tidak begitu lancar antaranya kerana tiada penyelarasan berapa ramai anggota pembangkang mahu berbahas.

“Persidangan DUN minggu depan bakal membahaskan isu penting antaranya Bajet Negeri Melaka untuk tahun 2015. Kami mahu pastikan persidangan ini berjalan lancar demi memenuhi tanggungjawab kepada rakyat,” katanya kepada Bernama di sini.

Melaka mempunyai 28 anggota DUN. Tujuh daripadanya merupakan pembangkang iaitu Goh, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh), Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir), Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru).

Media melaporkan sebelum ini, Goh meletak jawatan sebagai ketua pembangkang tahun lepas disebabkan pertelagahan beliau dengan pimpinan DAP pusat terutama Lim dan anggota DUN yang menyokong pimpinan DAP pusat iaitu Lai dan Khoo.

Pengerusi Barisan Nasional Backbenchers Club Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata kegagalan pembangkang melantik ketua dalam kalangan mereka selama lebih setahun merupakan bukti jelas bahawa tiada kesepakatan antara mereka.

“Bukan sehari atau sebulan tetapi lebih setahun mereka gagal berbincang untuk melantik seorang ketua bagi mengetuai mereka menguruskan hal ehwal berkait negeri dan rakyat.

“(Bagaimanapun) bagi saya sendiri, kerja membela nasib rakyat tidak terjejas jika pembangkang tiada ketua, tiada kesan apa pun, kerana kerja membela nasib rakyat di pihak kami memang sentiasa berjalan,” kata anggota DUN Rim itu.

Ghazale berkata pembangkang yang tidak akan dapat melaksanakan fungsinya sebagai kumpulan pembangkang berkesan dalam persidangan DUN sekiranya masih gagal melantik seorang ketua seperti peribahasa Melayu ‘bagaikan anak ayam kehilangan ibu’. — Bernama

Advertisement