Anda di sini

‘Lawas Bike Week’ bantu perkenal daerah ikan tahai

Advertisement

Oleh Mastura Ismail

 

MERIAH: Para peserta LBW 2014 berkampung di Lawas.

DAERAH Lawas yang terkenal dengan produk ikan tahainya hanya diketahui melalui namanya dan masih sedikit asing kepada masyarakat luar yang jarang berkunjung ke daerah itu khususnya dari Pulau Borneo sendiri dan Semenanjung Malaysia.

Kebanyakan mereka hanya mengenali Lawas melalui nama sebuah daerah yang kecil, terletak di hujung utara Sarawak selain merupakan pengeluar utama ikan kering yang dipanggil ikan tahai.

Tak kenal maka tak cinta, itulah pepatah sesuai yang menggambarkan perasaan jatuh cinta pandang pertama buat lebih 600 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang datang ke daerah ini bagi menjayakan program ‘Lawas Bike Week’ (LBW) 2014 yang memasuki edisi kedua penganjurannya.

Keindahan Lawas, keunikan dan kepelbagaian budaya lebih 40 ribu masyarakatnya menggamit perhatian para peserta LBW 2014 untuk terus mengenali daerah terpencil ini.

Justeru, penganjuran LBW ternyata bukan saja berjaya membuatkan pesertanya terpukau dengan keindahan Lawas, malah menyayangi daerah ini yang terkenal dengan keramahan penduduknya.

Pengerusi program yang juga Pengurus Residen Hotel Seri Malaysia Mohd Amin Othman berkata, LBW telah berjaya memperkenalkan Lawas kepada dunia luar.

Kehadiran sekitar lebih 600 penunggang motosikal berkuasa tinggi pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 420 peserta tahun lalu.

“Kali ini kita memperkenalkan pelbagai keistimewaan, dengan mengadakan kerjasama dengan Pemuda PBB Bukit Sari melalui aktiviti ‘Lawas Up Town’ yang diselitkan dengan gerai makanan, Mr Badang dan persembahan kebudayaan lain,” ujarnya.

Kelainan itu diperkenal berikutan ramai penunggang motosikal merungut kerana kekurangan gerai makan di daerah ini pada musim lalu.

“Malah dengan pertambahan 600 peserta membabitkan 800 motosikal berkuasa tinggi, ia petanda positif apabila penunggang motosikal berkuasa tinggi mula melihat Lawas di utara Borneo, sebagai lokasi berkumpul,” jelasnya.

Mohd Amin berkata, sebelum ini Lawas kurang dikenali, tetapi melalui LBW ramai rakan dari wilayah serumpun mengenali lebih mendalam dan jatuh cinta kepada daerah ikan tahai ini.

Beliau optimis LBW satu indikator dalam menjenamakan Lawas kepada luar, khususnya keunikan Lawas itu sendiri.

Pada masa sama beliau juga mahu persepsi negatif yang mengaitkan sesetengah penunggang motosikal yang berkelakuan negatif di jalan raya dapat dikikis.

“Tidak dinafikan memang ada segelintir penunggang motosikal berkuasa tinggi di Semenanjung yang kurang berdisiplin di jalan raya.

“Melalui program ini kita ingin mendidik mereka, terutama golongan muda agar tidak berkelakuan buruk kerana kita bukan mat rempit,” tegasnya.

Jelasnya, penunggang motosikal berkuasa tinggi di Pulau Borneo masih mempunyai tahap disiplin yang agak tinggi berbanding di Semenanjung.

“Mungkin ia berkaitan dengan faktor keadaan jalan raya,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut LBW katanya ia akan diadakan secara tetap pada hujung minggu pertama bulan November setiap tahun.

Sementara itu, orang kuat program yang juga penaja program, Awang Damit Ali Hasan berkata, LBW musim ini mendapat sambutan luar biasa yang merupakan petanda positif terhadap pembangunan Lawas itu sendiri.

“Sambutan meriah ini merupakan ‘senaman pemanas badan’ untuk kita menyambut Pesta Lawas pada 21-23 November ini nanti,” ujarnya.

Jelasnya, LBW boleh menjadi ikon Lawas dengan mengadakannya sebagai program tetap yang dikenali sebagai LBW Seborneo.

“Jika Limbang dikenali dengan acara Tarik Kalat Seborneo, Lawas pula akan mempunyai LBW Seborneonya bagi menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini,” katanya lagi.

Awang Damit berkata, program itu satu cara terbaik untuk memperkenalkan Lawas sebagai tempat yang perlu dilawati, menarik dan lain daripada kawasan lain.

Jelasnya, Lawas juga menjadi venue penting dalam merapatkan kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi di wilayah Borneo sekali gus mampu mewujudkan lebih ramai kelab motosikal yang sama pada masa akan datang.

Beliau turut memberi jaminan, program sama akan diadakan dalam skala besar pada tahun hadapan berdasarkan sambutan menggalakkkan selain mempromosikan aktiviti sihat.

“Apa yang pasti pelbagai kejutan akan menanti para peminat LBW 2015 tahun depan, yang dijangka akan lebih hebat dan meriah,” katanya lagi.

LBW 2014 dirasmikan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut sama ialah Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan Pengurus Smart Ryders Labuan Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman.

Advertisement