Anda di sini

Langkah rasionalisasi PTPTN wajar, beri peluang peminjam baharu: NGO

Advertisement

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan melakukan rasionalisasi terhadap pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah wajar bagi memberi peluang kepada peminjam baharu menikmati kemudahan tersebut.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Malaysia Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata ia adalah pendekatan munasabah yang dilakukan kerajaan berikutan kedegilan 552,638 peminjam yang masih gagal menjelaskan pinjaman mereka melibatkan amaun sebanyak RM4.21 bilion.

“Alasan yang dikemukakan oleh kerajaan adalah munasabah dan ia sekali gus dapat memberi ingatan kepada peminjam yang masih liat untuk melunaskan hutang mereka, akan memberi kesan kepada peminjam baharu.

“Bagaimanapun, kerajaan juga disaran untuk mengkaji jumlah peratusan pinjaman baharu yang akan dipotong kelak tidak membebankan pelajar baharu ketika kos hidup yang semakin meningkat sekarang,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Media semalam melaporkan pengurangan pembiayaan PTPTN sebanyak lima peratus kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan 15 peratus bagi pelajar di institusi pengajian tingi swasta berkuat kuasa Sabtu lepas.

Bagaimanapun, pengurangan jumlah pinjaman itu tidak melibatkan pelajar yang mengambil ijazah di dalam bidang perubatan.

Dianggarkan lebih 50,000 peminjam baharu bakal menikmati faedah kesan rasionalisasi tersebut.

Mohamad Ali berkata PTPTN juga digesa melakukan pemantauan terhadap peminjam yang telah mempunyai pekerjaan tetap dan memudahkan lagi urusan pembayaran pinjaman itu agar lebih ramai peminjam dapat membayar balik hutang mereka.

“Kena beri ruang kepada peminjam untuk bayar pinjaman mereka secara beransur-ansur agar mereka tidak merasa terbeban,” katanya.

Sementara itu, Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Syed Anuar Syed Mohamad menyalahkan tindakan segelintir pihak yang mencanangkan pendidikan percuma sebagai penyebab utama ramai peminjam liat membayar hutang.

“Pendidikan percuma yang digembar-gemburkan ini hanyalah politik sempit bagi meraih sokongan semata-mata. Ini menyebabkan ramai peminjam liat bayar hutang dan menunggu pinjaman mereka ‘dihapuskan’.

“Bagaimanapun, mereka tak sedar ia beri kesan kepada peminjam baharu terutama golongan kurang berkemampuan kerana tiada pusingan dana berlaku,” katanya. — Bernama

Advertisement