BARAM: Seramai tujuh penghulu dan seorang pemanca daripada komuniti Penan dilantik untuk berkhidmat di Hulu Baram.
Penghulu baharu dilantik ialah Juwin Lihan dari Long Win, Ajang Kiew dan Long Sayan, Tebaran Siden dari Long Balau, Dauk Suok dari Long Jekitan, Kaleng Lenap dari Long Lobang, John Bong dari Long Main dan diteruskan perkhidmatan Apek Bala dari Long Beruang serta Pemanca Henneser Uning Bong dari Long Lamei.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata pelantikan penghulu dan pemanca ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana etnik minoriti di negara ini khususnya kaum Penan.
“Sebelum ini, hanya terdapat dua penghulu daripada kaum Penan dan sekarang kerajaan menambah keseluruhan berjumlah tujuh orang serta satu jawatan pemanca.
“Pelantikan sebagai penghulu dan pemanca merupakan jawatankuasa tertinggi dalam komuniti yang menunjukkan kaum Penan setanding dengan kaum lain khususnya kaum Penan berkebolehan memimpin masyarakat,” katanya pada sesi bertemu rakyat di Long Jekitan, Sungai Silat, Baram semalam.
Kira-kira 200 penduduk dari beberapa kampung dan penempatan semula Penan termasuk Long Bee, Ba Purau dan Long Tikan hadir pada pertemuan tersebut.
Long Jekitan yang mempunyai kira-kira 400 populasi merupakan salah satu penempatan semula Penan terletak kira-kira lapan jam perjalanan melalui jalan darat atau setengah jam menggunakan pengangkutan udara dari Miri.
“Pelantikan ini merupakan satu lagi kejayaan komuniti Penan. Justeru, saya berharap mereka lebih bersikap terbuka dalam menerima perubahan bukan hanya dalam kepimpinan malah dapat menerima pembangunan infrastruktur,” katanya.
Ujar beliau, kaum Penan perlu menerima pembangunan dengan hati yang terbuka jika mereka mahu maju seiring dengan kaum lain di negara ini.
Pada masa yang sama, mereka tidak perlu menjauhkan diri daripada kerajaan dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang berjalan lancar.
Hadir sama Penghulu Dauk Suok, Penghulu Ajang Wan dari Akah Patah dan Kaunselor Joseph Jarius Lado.