Anda di sini

Tiada sekolah dipinggirkan oleh kementerian pendidikan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata kerajaan tidak pernah meminggir atau menganaktirikan mana-mana sekolah yang berada di bawah kawal seliaannya.

Peruntukan yang diluluskan pada setiap tahun telah diagihkan sama rata mengikut keperluan untuk semua sekolah tanpa mengambil kira jenis atau lokasinya, katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menafikan dakwaan kononnya wujud ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Pendidikan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau memberi contoh untuk tahun ini, peruntukan belanja mengurus bagi 8,300 sekolah kebangsaan (sekolah rendah dan menengah) ialah sebanyak RM10.9 bilion, manakala, bagi 1,294 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) RM2.4 bilion dan RM0.97 bilion untuk keperluan 523 buah sekolah jenis kebangsan Tamil (SJKT).

Muhyiddin berkata agihan peruntukan kepada SJKC dan SJKT adalah lebih baik berbanding sekolah kebangsaan yang lebih daif, khususnya di kawasan pedalaman, di pulau-pulau kecil dan luar bandar.

Beliau berkata sebagai contoh pada Bajet 2015, peruntukan penyelenggaran sebanyak RM450 juta akan diagihkan kepada lebih 8,000 sekolah rendah, termasuk SJKC kerajaan dan SJKT kerajaan serta sekolah menengah kebangsaan berbanding RM50 juta hanya untuk 889 SJKC Bantuan Kerajaan dan 336 SJKT Bantuan Kerajaan.

Justeru, adalah tidak tepat jika ada pihak yang mendakwa bahawa telah berlaku ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara,” kata Muhyiddin.

Sebagai tambahan, melalui Bajet 2015, katanya, peruntukan bayaran utiliti bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK) dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM5,000.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM5.284 bilion untuk pembangunan bagi sektor pelajaran Kementerian Pendidikan bagi tiga tahun iaitu dari tahun 2013 hingga 2015.

Daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan bagi Sarawak dan Sabah adalah yang terbanyak iaitu RM609.89 juta bagi negeri Sarawak dan RM559.87 juta bagi Sabah.

Mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju peminjam tegar akan disenaraikan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) mulai tahun hadapan bagi mendidik mereka agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam  membuat bayaran balik secara teratur.

“Namun demikian, peminjam yang terlibat boleh hadir ke PTPTN bagi menyelesaikan hutang mereka dan mendapatkan 20 peratus diskaun atau membuat penyelesaian secara ansuran selama 12 bulan bagi mendapat 10 peratus diskaun.

“Sekiranya mereka tidak mampu, mereka dibenarkan membuat penstukturan semula dengan memanjangkan tempoh bayaran balik sehingga umur 60 tahun,” katanya.

Sehingga 30 Sept ini, PTPTN hanya dapat mengutip RM5.4 bilion daripada keseluruhan jumlah pinjaman yang patut dikutip iaitu sebanyak RM12 bilion, katanya.

“Berdasarkan kepada rekod sehingga 1 Okt ini, sebanyak 173,985 orang peminjam tegar PTPTN tidak pernah membuat sebarang bayaran balik bagi tempoh 1999-2010 (melebihi tiga tahun) yang dianggarkan sebanyak RM1.23 bilion,” jelas Muhyiddin.

Menyentuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Muhyiddin berkata Sektor Pengajian Tinggi sedang menggubal Pelan Induk Pengajian Tinggi Negara untuk diselaraskan dengan pelaksanaan PPPM.

“Ini akan memberikan seamless continuity dalam rantaian nilai pendidikan daripada prasekolah hinggalah ke peringkat tertiari dan seterusnya ke alam pekerjaan.

“Insya-Allah, sekiranya berjalan lancar, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) akan dilancarkan pada suku tahun pertama 2015,” katanya. — Bernama

Advertisement