Anda di sini

Tham lakar sejarah olahraga

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Jadi anak Sarawak pertama selepas dilantik menjawat jawatan selaku naib presiden KOM

TONGGAK BAHARU: Karim (tengah) bersama Noorul Ariffin (kiri), SM Muthu, Irayu Muthusamy dan Tham (kanan) pada Mesyuarat Agung KOM ke-11 di Kuala Lumpur 1 November lalu. — Gambar Bernama

KUCHING: Datuk Tham Siew Kai melakar sejarah dalam arena olahraga negeri ini apabila dilantik sebagai anak Sarawak pertama menjawat jawatan naib presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Naib presiden Persatuan Olahraga Amatur Sarawak (SAAA) yang berusia 81 tahun itu antara empat calon yang dipilih untuk jawatan tersebut bagi tempoh 2014 hingga 2016 di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN).

Turut sama menjawat jawatan tersebut ialah Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, M Iyaru dan Datuk Rosni Sohar.

Terdapat tujuh pencalonan untuk jawatan naib presiden, tetapi tiga lagi menarik diri kerana turut bertanding jawatan timbalan presiden.

“Saya amat berbangga kerana dipilih jawatan ini dan saya berterima kasih kepada presiden KOM yang baharu Datuk Karim Ibrahim, dua lagi delegasi dari SAAA Leong Beng Keong (setiausaha) dan Lim Su Yaw (penolong setiausaha) serta delegasi negeri lain yang menyokong saya.

“Dengan sokongan kuat mereka, saya berharap terdapat anak Sarawak lain dipilih pada masa akan datang. Bukan mudah untuk dipilih dalam badan kebangsaan,” katanya di sini semalam.

Tham merasakan arena olahraga di Sarawak amat cerah dan yakin presiden KOM baharu amat menyokong usaha negeri ini dalam membangunkan olahraga.

“Karim pernah bertugas di Sarawak sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (PDRM) pada 1970- an dan amat mengetahui arena olahraga negeri ini,” ujarnya.

Beliau yakin Sarawak akan memberi cabaran kuat pada SUKMA XIX 2016 kerana dua pelari pecut negeri sekarang berlatih di Kuala Lumpur.

“Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy kini berlatih di bawah pengarah teknikal MAF, Robert John Dallard dan saya percaya mereka menjadi atlet yang diberi perhatian pada SUKMA 2016 di Sarawak nanti,” katanya.

Advertisement