Anda di sini

Sokongan hambar pada hari kelima pendengaran rayuan Anwar

Advertisement

PUTRAJAYA: Hari kelima pendengaran rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan suasana hambar dengan kehadiran kira-kira 30 orang untuk memberi sokongan kepada penasihat PKR itu di hadapan Istana Kehakiman di sini.

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 15 penyokong Anwar kelihatan membaca surah Yasin pada jam 10 pagi di tepi bangunan Istana Kehakiman dengan dipantau anggota polis.

Kekurangan kehadiran penyokong Anwar mungkin berpunca daripada keputusan Mahkamah Persekutuan melanjutkan tempoh prosiding rayuan kes itu yang dijangka selesai hari ini daripada tempoh yang ditetapkan sebelum ini iaitu, pada 28 dan 29 Okt.

Semalam, pihak pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan hujah balas terhadap alasan rayuan pembelaan, yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27.

Sementara itu, hasrat penyokong Anwar untuk menemuinya selepas selesai  prosiding pada jam 1 tengah hari semalam, tidak kesampaian kerana ketua pembangkang itu dikatakan keluar dari pintu belakang mahkamah tanpa disedari penyokongnya.

Namun, salah seorang peguam dari parti PKR itu, Manivanan Gowin telah memberi penerangan mengenai perkembangan yang berlaku dalam mahkamah kepada para penyokongnya yang hanya bertambah kepada 40 orang tengah hari semalam.

Hari ini prosiding rayuan kes Anwar diteruskan dengan Muhammad Shafee meneruskan hujah balasnya terhadap alasan rayuan pembelaan. — Bernama

Advertisement