Anda di sini

Program MEMBARA memperkaya kemahiran wanita Kpg Serabang

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

GUBAHAN BUNGA: Norhayati Abdul Gafar (berdiri kiri) memberikan tunjuk ajar teknik gubahan bunga kepada sebahagian kaum hawa di Kampung Serabang.

PELBAGAI program pembangunan terus dirancang untuk golongan wanita bagi memberi peluang kepada mereka memperkayakan kemahiran terutamanya dalam bidang masakan serta kemahiran kreatif yang lain.

Pegawai Kanan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) N.32 Bukit Saban, Benedict Blaki Lawrence Sanggat menyokong terus usaha kerajaan dalam membangunkan kaum hawa agar terus maju dan bergerak seiring dengan kaum lelaki.

“Hasrat kerajaan adalah untuk memberi galakan serta usaha menyebarkan maklumat dan penerangan kepada golongan wanita mengenai keusahawanan.

“Malah kita yakin melalui program-program seumpama ini bakal membuka ruang dan peluang dalam bidang perniagaan walaupun bermula secara kecil-kecilan, kata Benedict ketika merasmikan Program Membantu Rakyat (MEMBARA) P.204 Betong yang disertai lebih 50 wanita di Dewan Serbaguna Kampung Serabang, Pusa baru-baru ini.

Jelasnya program MEMBARA merupakan susulan kepada Seminar Motivasi Keusahawanan dan Peluang-peluang Perniagaan yang diadakan di Bungin baru-baru ini.

“Justeru, melalui idea dan sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.30 Saribas, Mohamad Razi Sitam ia telah menjadi tulang belakang penganjuran program sehari ini.

“Kerajaan ingin melihat golongan wanita dibangunkan dengan kemahiran masakan dan kreatif yang lain.

“Oleh itu, saya menyeru golongan wanita di Kampung Serabang ini agar bergerak di bawah satu bumbung pimpinan kerajaan yang adil dan prihatin kepada aspirasi rakyat.

“Melihat kepada penglibatan ramai wanita di kampung ini, saya mengharapkan ilmu yang dikongsikan oleh wakil-wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Betong, dapat diaplikasikan dengan sebaik yang mungkin.

“Begitu juga pada masa-masa akan datang, kerajaan khususnya ingin melihat program-program lain diadakan di Kampung Serabang.

“Oleh yang demikian, kerjasama, perpaduan dan sokongan semua penduduk kampung sangat penting untuk memastikannya ia Sterus dibangunkan. Ahli Pemuda dan Wanita PBB kawasan juga digesa untuk bergerak lebih aktif merealisasikan program-program kerajaan yang bakal memberi manfaat kepada semua,” tambahnya.

Program MEMBARA P.204 Betong dianjurkan oleh JASA Betong dengan kerjasama erat KEMAS Betong.

Turut hadir ialah Pegawai JASA DUN Saribas, Mohd Firdaus Mohd Ali, Ketua Kampung Serabang Peri Hassan, Ketua Ranting PBB Kampung Serabang Ellah Salleh dan Ketua Wanita PBB Kampung Serabang Norisah Abu Gasah.

WANITA BERJAYA: Lebih 50 wanita Kampung Serabang tidak melepaskan peluang untuk menyertai Program MEMBARA P.204 Betong, baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Benedict, MohdFirdaus, Ellah dan Norisah.

Advertisement