Anda di sini

Pendidikan penjana masa depan gemilang

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

KABONG: Pendidikan adalah aspek utama dalam memastikan masa depan cemerlang dan gemilang, kata Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz.

Katanya ibu bapa harus memastikan anak diberi pendidikan terbaik dalam kontek kehidupan hari ini sebagai usaha menjadikan mereka insan cemerlang dalam menyumbang kepada kejayaan negara.

“Harus diingat pendidikan terbaik harus bermula dari rumah. Oleh itu,  anak perlu dididik sebaiknya supaya kesempurnaan sifat dan keperibadian dizahirkan tidak melewati batas kehidupan apabila dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi 2014 SMK Kabong  dekat sini, baru-baru ini.

Wahab menjelaskan, pada masa yang sama, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak dan mengetahui dengan siapa mereka bergaul.

Pada majlis itu, Wahab turut menyampai anugerah kepada Nazli Talip dan Nursyarnisa Masmos yang dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar SMK Kabong.

Beliau turut menyampai sijil kepada 34 pelajar tingkatan enam sekali gus mengumumkan geran peruntukan sebanyak RM25,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kabong.

Terdahulu Anugerah Tokoh Pelajar Putera dinobat kepada Nazli Talip atas keaktifannya dalam bidang kokurikulum.

Nazli aktif mengikuti pertandingan menulis karangan bahasa Melayu dan Inggeris, bahas bahasa Inggeris ala Parlimen serta bahas Piala Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, dalam bidang akademik Nazli turut menunjukkan kecemerlangan.

Manakala Anugerah Tokoh Pelajar Puteri diberi kepada Siti Nursyarnisa,  ketua pengawas aktif melibatkan diri dalam pertandingan perbahasan sehingga ke peringkat negeri malah pernah dianugerah pembahas terbaik peringkat negeri Sarawak.

Beliau juga aktif dalam pertandingan puisi, sketsa serta mempunyai pencapaian sangat baik dalam bidang akademik.

Kedua-dua tokoh itu merupakan ahli Kelab 1Malaysia di bawah kendalian Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Saratok.

Terdahulu, Wahab turut memberitahu bahawa Kabong pada masa inidalam proses untuk dinaik taraf sebagai satu daerah.

“Justeru, berilah sokongan kepada sesiapa sahaja wakil rakyat yang mewakili Barisan Nasional (BN)  pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” jelasnya.

Advertisement