Anda di sini

Pelajar hilang: Tindakan tegas jika sebar spekulasi

Advertisement

Maklumat tidak sahih boleh gores hati keluarga mangsa

HULU TERENGGANU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran spekulasi menerusi media sosial berhubung kes kehilangan seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia sudah tersebar di laman sosial sejak mangsa dilaporkan hilang.

Beliau yang juga anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata tindakan tegas akan dikenakan jika MCMC mengesan mereka yang masih melakukan penyebaran dengan paparan maklumat tidak sahih serta boleh menggores hati anggota keluarga mangsa.

“Saya sudah arahkan pihak berkuasa mengesan laman-laman sosial yang menyebarkan berita tidak bertanggungjawab itu. Hentikan spekulasi tidak benar yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Cuba bayangkan jika perkara sama terjadi kepada anggota keluarga kita sendiri, sudah pasti kita akan marah dan sedih. Justeru saya harap semua berdoa akan keselamatan adik itu agar dapat ditemui dengan selamat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak khemah sementara operasi mencari dan menyelamat di sini, selain mengikuti perkembangan terkini pencarian pelajar malang itu.

Ahmad Rafikin Azman, 16, dilaporkan hilang tanpa jejak setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang, Sabtu lepas.

Azman sebelum itu, memaklumkan kepada penganjur bahawa beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatut diambilnya kira-kira jam 3 petang selepas acara itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota bomba dan penyelamat, polis, RELA, tentera serta penduduk kampung, turut disertai anggota keluarga mangsa, namun sehingga kini masih tiada petunjuk berhubung kehilangan remaja itu. — Bernama

Advertisement