Anda di sini

Muaythai cungkil bakat atlet mewakili Sarawak

Advertisement

KUCHING: Usaha mempromosi sukan muaythai dan mencungkil bakat-bakat baharu untuk mewakili Sarawak terus dipergiatkan menerusi penganjuran pelbagai kejohanan muaythai.

Usaha tersebut termasuk menganjurkan Kejohanan Muaythai Pesta Sematan pada 8 November ini di tapak Pesta Sematan.

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama jawatankuasa penganjur Pesta Sematan 2014, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Timbalan Presiden PMNS, Sulaiman Salleh berkata pelbagai kategori dipertandingkan pada kejohanan itu yang melibatkan peninju amatur dan pro.

Katanya, seramai 60 peserta yang mewakili pelbagai kelab muaythai dari seluruh Sarawak menyertai kejohanan itu.

“Kejohanan itu bertujuan mempromosi sukan muaythai dan pada masa sama mencungkil bakat baharu mewakili Sarawak pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sulaiman menjelaskan, acara sampingan yang turut dirancang termasuk sesi perjumpaan bersama Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi.

“Perjumpaan ini akan membincangkan hala tuju sukan muaythai negara dan cadangan penambahbaikan pelan strategik dan operasi PMM serta PMNS,” ujarnya.

Tambahnya, lebih menarik kejohanan itu menjadi pentas pemilihan atlet bayangan untuk skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.

“Pemilihan ini melibatkan ahli-ahli kelab berdaftar dengan ahli gabungan persatuan muaythai bahagian dan PMNS,” katanya.

Kategori yang dipertandingkan melibatkan 42-45kg, 45-51kg, 48-51kg, 51-54kg, 54-57kg, 57-60kg, 60-63.5kg, 63.5-67kg dan 67-71kg bagi peserta lelaki.

Peserta wanita pula akan bertanding dalam tageori 42- 45kg, 45-48kg dan 48-51kg.

Kemuncak kejohanan itu adalah pertembungan antara Shafilaludin Nordin merupakan juara Muaythai Piala TYT 2014 dan juara Muaythai Piala Summermall Samarahan 2014 menentang juara dua kali Muaythai D1, Sabah – Faizal Ismail dari Kelab Muaythai Borneo Red Lion Sabah.

“Perlawanan dijangka sengit kerana kedua-dua peninju itu berpengalaman luas dan juara di tempat masing-masing,” kata Sulaiman.

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim turut berterima kasih kepada pengarah MSNS atas kerjasama diberikan bagi memastikan kelancaran program pemilihan skuad bayangan SUKMA Fasa 1.

Advertisement