Anda di sini

K’jaan amat memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti

Advertisement

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu bahawa kerajaan amat memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti demi mengisi keperluan sektor tenaga kerja profesional negara pada masa akan datang.

Lantaran itu, ibu bapa dinasihati agar tidak berpeluk tubuh dalam membantu pihak sekolah mempertingkatkan lagi tahap penguasaan akademik anak masing-masing, tegas beliau.

Menurut Dr Rayong lagi, ibu bapa tidak harus bersikap lepas tangan dalam mengurus hal ehwal akademik anak-anak di sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan mereka.

“Tindakan ini salah. Ibu bapa seharusnya mengambil inisiatif untuk memperkembang pencapaian akademik anak-anak dengan pelbagai cara termasuk dengan menghantar mereka belajar tuisyen,” katanya.

Dr Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Tenga Hari anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Enteban, Skrang di sini, semalam.

Selain itu beliau menasihati warga guru agar komited ketika mengajar murid di sekolah demi membantu kerajaan mencapai matlamat pembangunan negara pada masa akan datang.

“Saya berharap anda (guru) dapat mengukuhkan hubungan kerjasama dengan ibu bapa murid agar masalah akademik dan kokurikulum di sekolah dapat diselesaikan bersama,” katanya.

Dr Rayong pada majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Enteban yang diterima Pengerusi PIBG SK Enteban Karim Sanggir.

Advertisement