Anda di sini

Kekurangan diri pembakar semangat untuk berjaya

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Norain yang menghadapi masalah penglihatan berjaya menamatkan pengajian dan bergelar graduan UNIMAS

KUCUPAN TAHNIAH: Khamisah memberi hadiah kucupan kepada Norain atas kejayaan bergelar graduan meskipun dikategorikan sebagai OKU.

KOTA SAMARAHAN: Kekurangan pada diri tidak menjadi penghalang untuk Norain Fatihah Mohammad Yusof menamatkan pengajian dan bergelar graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Malah kekurangan tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk Norain menyahut cabaran untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminati iaitu Program Kajian Khidmat Sosial di Fakulti Sains Sosial.

Berasal dari Terengganu, Norain yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik menghidapi masalah rabun penglihatan tahap empat sejak lahir dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS semalam, Norain yang ditemani ibu angkatnya Khamisah Ete tidak dapat menahan rasa sebak apabila akhirnya berjaya menerima segulung ijazah selepas menempuhi pelbagai cabaran sepanjang pengajian di UNIMAS.

Dalam gembira bercampur sebak, Norain bersyukur kerana rakan-rakan, para pensyarah serta pihak UNIMAS sentiasa memberi kerjasama dan berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif untuknya.

“Walaupun adakalanya saya ditinggalkan oleh rakan-rakan untuk ke kelas namun ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk berusaha bergerak sendiri meskipun kerap kali terjatuh ke dalam longkang dan parit.

“Selepas ini saya akan pulang sementara ke Terengganu sebelum meneruskan cita-cita saya bergelar seorang profesor dalam bidang yang saya ceburi ini,” kata Norain yang pernah menjadi wakil pemain catur paralimpik Malaysia di Thailand pada 2007.

Ditanya mengenai resipi kejayaannya, Norain memberitahu bahawa rehat yang cukup, sentiasa bertanya kepada rakan-rakan dan pensyarah serta tekun mengulang kaji merupakan kunci kepada kejayaannya.

Pada majlis konvokesyen semalam Norain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat UNIMAS terutama pihak pengurusan, pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan kerana telah memberi peluang kepadanya melanjutkan pengajian di UNIMAS.

Pada kesempatan ini, Norain turut berpesan kepada para pelajar agar sentiasa positif dan tidak menjadikan kecacatan atau apa juga kelemahan diri sebagai halangan untuk mengecapi kejayaan.

Advertisement