Anda di sini

Kejayaan perlukan usaha, kerja keras serta komitmen tinggi

Advertisement

GEMBIRA: (Dari kanan) Lay, Ian, Wong, Sia dan Tan berborak antara satu sama lain selepas menerima Anugerah Graduan Terbaik.

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan tidak datang bergolek tetapi memerlukan usaha dan kerja keras serta komitmen yang tinggi kata lima graduan cemerlang Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Mereka Wong Ji Yeh, Lay Foong Yee, Ian Charles Mius, Sia Kie Yung dan Tan Sier Lie, graduan bagi Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS yang menerima Anugerah Graduan Terbaik dalam Sarjana Muda Sains Komputer dengan kepujian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Malah kesemua mereka mendapat tajaan Sains sebanyak RM2,000 seorang atas pencapaian mereka itu.

Wong ketika ditemui berkata, rahsia kejayaannya adalah berusaha dengan gigih dan kerja keras dengan bijak untuk memastikan kejayaan dapat dicapai.

“Semua kejayaan mesti memerlukan kerja keras dan komitmen yang tinggi untuk mencapainya, tanpa usaha maka kita tidak akan berjaya,” katanya.

Manakala menurut Lay, membuat ulang kali dan berbincang bersama kawan adalah penting supaya setiap masalah dalam pembelajaran dapat diselesaikan.

“Saya sering membuat ulang kaji pelajaran untuk memastikan setiap yang diajar itu dapat diterima dan untuk berjaya bukanlah mudah kerana ia memerlukan disiplin untuk belajar,” tegasnya.

Sementara itu, Ian pula memberitahu bahawa kunci kejayaannya adalah usaha, rajin mengulang kaji pelajaran dan sentiasa memberi perhatian dalam kelas.

Selain itu, katanya belajar dalam kumpulan juga memberi dorongan untuk seseorang itu mendapat keputusan yang cemerlang.

“Kalau saya tidak tahu tentang sesuatu perkara, kami akan berkumpul dan belajar bersama-sama,” ujarnya.

Pada masa sama, Sia dan Tan turut mendedahkan perkara yang sama untuk seseorang graduan itu berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

“Usaha gigih dan belajar dengan bijak penting supaya kita mendapat maklumat dan penyelesaian yang betul,” kata mereka.

Advertisement