Anda di sini

Kampung Salak dilanda masalah sampah yang serius

Advertisement

KUCHING: Sampah merupakan masalah dunia moden dan kini sedang melanda sebuah perkampungan di Batang Salak apatah lagi ia kini menjadi semakin buruk apabila air pasang.

Sewaktu lawatan ke Kampung Salak semalam, wartawan dimaklumkan oleh Penghulu Wahid Mat bahawa sisa sampah termasuk kertas dan plastik.

“Kami tidak mempunyai cara untuk melupuskan sampah kami, walaupun ada antara penduduk yang membakar sampah mereka, tetapi ada juga sebilangan yang membuang sampah ke dalam air,” kata Wahid.

Wahid mengetuai lawatan khas pegawai Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk mencari jawapan kepada masalah sampah-sarap di kampung tersebut.

Delegasi Jepun diketuai Koordinator Projek JICA Yanazume Yuki bersama Pengarah Projek Tochigi International Association Uyama Yuichi dan Ketua Bahagian Persekitaran Bandar Motegi Nagashima Yasushi.

Rombongan ditemani Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKU Henable Hendry Nessan dan pegawai Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB).

Menurut Henable, pihaknya menyertai lawatan tersebut dalam usaha melaksanakan program DBKU iaitu Bersih, Cantik dan Selamat (CBS).

“Objektif kami pada hari ini bersama JICA dan NREB adalah untuk menjalankan kajian, terutama berkaitan kebersihan, pembuangan sisa dan persekitaran, memandangkan pakar JICA juga berada di sini,” tambahnya.

Pihaknya masih dalam peringkat merancang pelan tindakan iaitu untuk melatih penduduk kampung mengenai EM (Microorganisma Efektif), Bokashi.

Kaedah kompos ini akan menukar sisa daripada dapur untuk dijadikan baja organik yang boleh digunakan sebagai baja tambahan untuk menyuburkan tanaman.

Menurut sumber laman rasmi, EM mempunyai mikroorganisma patogenik yang membolehkan pereputan secara semula jadi dan tidak memerlukan proses sintetik yang dilakukan oleh jurutera.

Pengurus Projek Persatuan Antarabangsa Tochigi Uyama Yuichi berkata projek tersebut telah dilaksanakan di Kampung Bako yang turut mempunyai masalah yang sama.

“Perkara paling penting adalah untuk mendidik generasi seterusnya tentang pentingnya menjaga persekitaran. Saya mahu mereka bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran,” jelasnya.

Kampung Salak berusia 300 tahun merupakan sebuah pulau tanpa akses jalan raya dan tidak dikenakan kutipan taksiran, menjadi sebab utama untuk mereka mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut segera.

Setakat ini, terdapat seramai 704 orang mendiami kampung tersebut dengan 108 isi rumah yang menghasilkan sekurang-kurangnya 15 kilogram sampah setiap hari.

Bagaimanapun, menurut Wahid penduduk kampung tersebut menyokong usaha yang diperkenalkan DBKU untuk menyelamatkan keadaan daripada hidup di dalam timbunan sampah.

Advertisement