Anda di sini

Jawatankuasa bebas peperiksaan kemuka laporan penuh Disember ini

Advertisement

TETAP MENDUDUKI SPM: Khair melawat pelajar SM Sultan Muhammad Shah, Parit Norhakim Najmi Norhashimi yang terpaksa menduduki kertas peperiksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada hari pertama SPM di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam dijangka memberi laporan penuh mengenai cadangan penambahbaikan serta syor mereka bulan depan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut kini masih mendapat dan mengumpul input sebelum mengeluarkan laporan interim dan seterusnya laporan penuh kajian prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan awam pada pertengahan Disember ini.

“Jawatankuasa bebas itu telah ditubuhkan. Kita akan meningkatkan lagi pengurusan peperiksaan dengan cadangan penambahbaikan dan syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau meninjau perjalanan SOP dan pengurusan keselamatan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson bagi 42 pusat peperiksaan, di sini pagi semalam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan ia ditubuhkan untuk mengkaji semula SOP peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Ia dibentuk berikutan kes kebocoran soalan kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini.

Mengenai perjalanan pengurusan kertas soalan di bilik kebal SMK Anderson, Khair berkata SOP pengurusannya berjalan lancar dan semua prosedur dipatuhi.

“Dari peringkat permulaan dengan pendaftaran ketua pengawas pusat peperiksaan, semakan kertas soalan yang diambil dari bilik kabel, penyimpanan kertas soalan dalam karung yang berkunci, semakan pegawai penyelia kawasan mengenai bilangan kertas soalan, semuanya berjalan lancar mengikut SOP,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengamalkan kawalan yang lebih ketat dalam proses penyimpanan kertas soalan sebelum dikeluarkan kepada ketua-ketua pusat peperiksaan.

Mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua bilik kebal, beliau berkata tahap keselamatannya akan ditingkatkan dan pihaknya kini dalam usaha melengkapkan lagi pemasangan CCTV.

“Kita melihat semua aspek pengendalian kertas soalan bukan setakat di bilik kebal, tetapi termasuk proses lain dari permulaan hingga ke bilik kabel,” katanya.

Sebanyak 455,839 calon menduduki SPM di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai semalam hingga 4 Dis. — Bernama

Advertisement