Anda di sini

Hubungan seksual terdahulu boleh diterima

Advertisement

Keterangan Mohd Saiful relevan untuk jelaskan mengapa tiada sebarang kecederaan fizikal

TENANG: Muhammad Shafee (kanan) ketika berjalan keluar dari Mahkamah Persekutuan pada hari kelima kes rayuan terakhir Anwar terhadap keputusan kes liwat Mohd Saiful di Istana Kehakiman di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan  berkaitan hubungan seksual terdahulu dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diterima dalam rayuan kes liwat sekarang, Mahkamah Persekutuan diberitahu semalam.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata keterangan itu boleh diterima kerana menunjukkan keadaan minda dan perilaku Mohd Saiful sebelum, semasa dan selepas perbuatan liwat seperti didakwa itu.

Beliau berkata keterangan itu relevan untuk menjelaskan mengapa tiada sebarang kecederaan atau tanda-tanda trauma fizikal pada dubur pengadu.

“Justeru, adalah jelas bukti mengenai hubungan seksual terdahulu, seperti keterangan oleh Mohd Saiful, sebenarnya diterima…dan tidak ada bahaya yang serius mengenai keterangan prapenghakiman,” katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima orang hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Empat orang lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Muhammad Shafee berkata contoh keterangan Mohd Saiful yang mengaitkannya dengan hubungan seksual terdahulu dengan Anwar ialah “saya kata saya tidak mahu lakukannya pada hari tersebut.”

Beliau juga berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan dan salah laku Anwar pada penggulungan kes oleh pihak pembelaan berhubung dengan apa yang dikatakan hubungan seksual terdahulu.

Beliau berkata, keterangan itu relevan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950 kerana ia memperjelaskan pertuduhan liwat.

Mengenai perkara lain, Muhammad Shafee berhujah bahawa Anwar gagal untuk memanggil saksi yang menjadi alibi beliau untuk membuktikan pembelaannya.

Beliau berkata Anwar, melalui peguam caranya SN Nair, telah menyenaraikan kira-kira 10 nama termasuk isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi tidak seorangpun daripada mereka dipanggil.

Anwar, 67, yang juga ketua pembangkang, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih,Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee dijadual menyambung hujahnya hari ini.

Beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan mengambil masa antara satu jam setengah atau dua jam untuk menggulung hujahnya.

Pihak pembelaan dijangka mengemukakan hujah balas selepas itu. — Bernama

Advertisement