Anda di sini

Hanyut ketika cuci kereta

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

MANGSA yang dihanyutkan sejauh kira-kira 60 meter dalam sungai berkenaan menerima rawatan oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berdepan detik mendebarkan selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian berhampiran sungai Kampung Notorus, Jalan Penampang-Tambunan dekat sini petang kelmarin.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu ketika kejadian dikatakan ke tebing sungai berkenaan untuk mencuci kenderaan mereka.

Bagaimanapun, tidak semena-mena aliran sungai itu bertukar menjadi deras yang dipercayai berpunca cuaca hujan lebat petang kelmarin.

Impak arus deras terbabit mengakibatkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka hanyut kira-kira 30 meter.

Dipercayai salah seorang daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepian manakala rakannya yang hanyut sejauh 60 meter diselamatkan dengan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang yang bergegas ke lokasi insiden.

Ketua Balai Jamaluddin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kita menerima panggilan berhubung insiden terbabit kira-kira jam 2.10 petang.

“Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota telah digegaskan ke lokasi itu untuk operasi menyelamat,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, mangsa berjaya diselamatkan dengan menggunakan tali penyelamat sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan kecemasan.

 

Advertisement