Anda di sini

Gadis mengaku tidak bersalah melesapkan wang majikan

Advertisement

MIRI: Seorang gadis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pagi semalam, terhadap tuduhan mencuri wang milik majikannya.

Rachel Layun Agong, 21, dari Kampung Perpaduan off Taman Tunku di sini didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh yang bertugas sebagai juruwang dituduh mencuri wang tunai RM709 kepunyaan Bilinco Sdn Bhd, milik Rusyana Tham.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 9 malam, antara 5 September 2014 hingga 5 Oktober lalu di sebuah kedai fesyen di kompleks beli-belah Boulevard di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan bebas dengan jaminan RM1,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement