Anda di sini

Esscom beri perhatian serius

Advertisement

Oleh NORWAHIDA YAMALUDDIN

Ruji ketika mempengerusikan mesyuarat khas bersama pegawai-pegawai jabatan berkaitan. Turut kelihatan Rashid.

Masalah masyarakat Palauh yang dikhuatiri ancam keselamatan

LAHAD DATU: Isu permasalahan masyarakat Palauh di daerah ini mendapat perhatian serius pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berikutan tindakan segelintir daripada mereka yang terlibat dalam aktivit tidak sihat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pengarah Awam Esscom Ruji Ubi ketika berucap dalam mesyuarat khas berkata terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh termasuk pendokumentasian dan pengeksploitasian golongan Palauh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita kena mencari jalan terbaik untuk menangani masalah orang Palauh ini secara berkekalan. Namun bukan mudah untuk menyelesaikan perkara ini tanpa sokongan semua pihak.

“Sebab itu, Esscom mengambil inisiatif memanggil mesyuarat ini untuk membincangkan hal secara mendalam termasuk mendapatkan maklum balas dan pandangan semua pihak,” katanya yang dipetik dari laman rasmi Esscom.

Mesyuarat khas itu dihadiri pegawai-pegawai daerah terpilih dan wakil pelbagai jabatan dan agensi terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Imigresen.

Turut hadir Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun dan Ketua Seksyen Komunikasi Strategik Esscom Mohd Yusri Hashim.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid dalam perhimpunan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya pada 27 Oktober 2014 berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Esscom dicadangkan bekerjasama menyelesaikan permasalahan masyarakat Palauh di daerah ini.

Menurutnya, kerjasama pintar Strategi Lautan Biru (NBOS) amat penting dilaksanakan agar isu masyarakat Palauh yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu diselesaikan.

Untuk rekod, pada Februari 2013, kira-kira 160 orang termasuk wanita dan kanak-kanak yang dipercayai Palauh dikumpul dalam Ops Kumpul yang dikendalikan dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan termasuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpusat di Kunak.

Masyarakat Palauh yang menduduki kawasan lapang di Bandar Wilayah Jasa pernah dikisahkan sebelum ini melalui tinjauan Utusan Borneo pada Julai 2013 dengan mendapati lebih kurang 20 keluarga menduduki kawasan itu.

Masyarakat Palauh mula dikesan sejak 300 tahun lalu dan dipercayai berasal dari kepulauan Riau Johor khususnya Pulau Lingga kemudian berhijrah ke kepulauan Selatan Filipina dan Borneo utara sejak 100 tahun lalu selepas kejatuhan empayar Melaka.

Golongan itu dikenali sebagai Sea Gypsies kerana hidup secara nomad di lautan, dan majoriti mereka masih menetap di perahu dan mengamalkan budaya hidup sebagai pelaut.

Advertisement