Anda di sini

Rakyat berbahasa Inggeris, pikat pelancong ke Malaysia

Advertisement

Usaha kerajaan tekankan BI bukan untuk bersaing dengan BMMELAKA: Kemampuan rakyat Malaysia berbahasa Inggeris merupakan antara faktor menyumbang kedatangan pelancong asing ke negara ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata pelancong asing berasa selamat dan tidak khuatir kerana boleh berbicara dan berurusan dengan rakyat tempatan yang secara umumnya mampu bertutur asas bahasa Inggeris.

“Jadi orang Malaysia mesti fasih berbahasa Inggeris, jangan anggap usaha kerajaan menekankan bahasa Inggeris selama ini sebagai bersaing dengan bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi untuk kita berkomunikasi sesama kita manakala bahasa Inggeris penting dengan dunia luar,” katanya kepada pemberita selepas melawat ‘Bahtera Merdeka’ dan melancarkan logo Melaka Alive di Bandar Hilir di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Melaka Datuk Ghazale Mohamad dan Pengerusi Melaka Alive Mohd Nizar Mohd Najib.

Mohamed Nazri berkata selain itu, layanan baik masyarakat terhadap pelancong asing juga merupakan daya penarik kedatangan mereka selain untuk menikmati keindahan flora dan fauna di Malaysia.

“Kita memang secara semulajadi cukup mengutamakan tetamu-tetamu, ini bukan khusus kepada sesuatu kaum sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 16.1 juta pelancong telah mengunjungi Malaysia sejak Januari hingga Ogos lepas berbanding 14.6 juta dalam tempoh sama pada 2013.

Sementara itu, Bahtera Merdeka yang merupakan sebuah bangunan berbentuk kapal dari zaman silam serta menampilkan persembahan teater diiringi kesan khas dijangka beroperasi pada Januari 2015.

Mohd Nizar berkata persembahan teater berkonsepkan elemen sejarah dengan bantuan teknologi terkini itu mampu menarik pelancong dalam dan luar negara memahami lebih jelas sejarah Melaka dan Malaysia.

Katanya, Bahtera Merdeka yang merupakan fasa pertama taman tema sejarah Melaka Alive disasar menerima 20,000 pengunjung sebulan. — Bernama

Advertisement