Anda di sini

Pesta nelayan tonjol perkembangan terkini sektor perikanan: Musa

Advertisement

MENUMBOK: Penganjuran pesta nelayan mampu memberi peluang kepada para nelayan untuk menyertai dan mengikuti perkembangan terkini sektor perikanan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Melalui pesta itu kata Musa, para nelayan akan didedahkan dengan pelbagai teknologi dan inovasi baharu dalam sektor perikanan yang dipamerkan oleh agensi kerajaan dan swasta yang terlibat.

“Saya yakin jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sentiasa bersedia membantu dan memberi khidmat nasihat dan kepakaran menerusi pameran yang diadakan,”katanya sempena perasmian Pesta Nelayan peringkat Daerah Kecil Menumbok Ke-14 di sini semalam.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi; Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu, Limus Jury dan Ketua Bahagian UMNO  Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.

Sehubungan itu Musa berkata kerajaan negeri menyambut baik penganjuran tahunan pesta itu serta menyarankan supaya penganjur mempelbagaikan lagi produkbernilai komersial pada pesta akan datang untuk memenuhi pasaran yang lebih luas.

Pekan Menumbok yang terletak kira-kira 165 kilometer dari Kota Kinabalu dikenali sejak dahulu sebagai kawasan yang kaya dengan hasil laut dan kebanyakan penduduknya bekerja sebagai nelayan.

Pada majlis itu, Azizah turut menyampaikan bantuan elaun sara hidup sebanyak RM253,000 kepada 1,265 nelayan di kawasan Kuala Penyu dan Anugerah Nelayan Contoh kepada tiga orang nelayan terpilih.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Penyu, Yusof Mohamad mahu supaya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil alih hasil tangkapan nelayan di kawasan berkenaan bagi mengurangkan penglibatan orang tengah.

Katanya ia juga memudahkan para nelayan untuk memasarkan hasil perikanan di samping dapat menjamin kualiti hasil tangkapan. — Bernama

Advertisement