Anda di sini

Notis kajian semula persempadanan diwarta bulan depan: Pengerusi SPR

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebelum mewartakan notis tersebut, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Bila notis itu diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Aging untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai.

Abdul Aziz berkata persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

“Kawasan mengundi yang luas perlu dikecilkan supaya jumlah pengundi yang terdapat di satu-satu kawasan pilihan raya adalah munasabah,” jelasnya.

Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, keluasan kawasan Parlimen adalah kecil sahaja seperti kawasan Batu dan Segambut namun jumlah pengundinya besar, dan tanpa persempadanan semula, rakyat sukar untuk mendapat perkhidmatan yang baik daripada wakil rakyat.

“Persempadanan semula bukan untuk menentukan satu-satu parti memenangi pilihan raya,” tegasnya dan menambah, prinsip yang digunakan SPR dalam membuat persempadanan semula ialah untuk menyenangkan pengundi.

Abdul Aziz berkata kajian semula Persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003, dan mengikut peraturan, persempadanan semula sepatutnya dilaksanakan pada 2011.

“Pada masa itu, SPR takut ia bertembung dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Jadi persempadanan semula ditangguhkan, dan hasil persempadanan semula kali ini hanya boleh digunakan untuk pilihan raya umum akan datang yang selewat-lewatnya diadakan pada 2018,” katanya.

Abdul Aziz berkata setelah lebih lapan tahun sudah pasti bilangan pengundi bertambah berikutan pembangunan pesat seperti pembinaan bangunan baharu oleh kerajaan yang boleh dijadikan pusat mengundi selain lebih banyak jalan raya yang dibina, yang akan memudahkan usaha SPR untuk mengecilkan bilangan pengundi.

“Sekarang ada kawasan Parlimen yang mempunyai dua pejabat daerah dan dua pihak berkuasa tempatan (PBT), dan keadaan ini menyusahkan wakil rakyat selain menyusahkan penyelarasan semasa hari mengundi dan pendaftaran pengundi,” katanya.

Beliau berkata apa yang dilalukan oleh SPR dalam persempadan semula adalah untuk mendekatkan tempat mengundi untuk para pengundi demi kemudahan mereka.

Yang kedua dalam setiap kawasan mengundi itu mesti ada kemudahan pentadbiran seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah, majlis bandaran dan bandar raya.

“Seberapa daya yang boleh, jumlah pengundi itu mesti lebih kurang sama banyak. Tapi sama banyak pun, SPR tidak boleh samakan jumlah pengundi di bandar dengan luar bandar. Kawasan bandar kepadatan penduduknya tinggi, di kawasan luar bandar kepadatan penduduknya rendah,” jelasnya. — Bernama

Advertisement