Anda di sini

Langkawi berdepan masalah bekalan air menjelang 2020

Advertisement

ALOR SETAR: Langkawi dijangka berhadapan dengan masalah bekalan air yang kritikal menjelang tahun 2020 jika tiada tindakan segera dilakukan bagi menangani masalah berkenaan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pembangunan Langkawi yang semakin pesat memerlukan bekalan air yang lebih banyak namun, pulau peranginan itu banyak bergantung kepada bekalan air dari tanah besar.

Katanya 65 peratus bekalan air diperoleh dari tanah besar melalui loji rawatan air Sungai Baru yang dihantar melalui paip khusus dan hanya 35 peratus air terawat untuk kegunaan di Langkawi adalah dari pulau itu.

“Daripada apa yang dimaklumkan oleh Sada (Syarikat Air Darul Aman), Langkawi mempunyai bekalan air yang meruncing pada masa depan terutama menjelang 2020.

“Pembangunan makin meningkat, hotel makin banyak…perumahan, pusat komersial (bertambah), sedangkan Langkawi tak cukup air,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat penstrukturan semula bekalan air negeri Kedah di sini semalam.

Katanya untuk itu, Sada mencadangkan diadakan bekalan air tambahan dari tanah besar ke Langkawi, iaitu sama ada membina loji rawatan air yang baharu atau menaik taraf loji rawatan air sedia ada.

“Tetapi apa yang penting, Langkawi memerlukan bekalan air tambahan dari tanah besar kerana tak cukup bekalan air di pulau itu.

“Sada ada perjanjian dengan Taliworks Sdn Bhd di Langkawi dan Air Utara Indah Sdn Bhd yang merawat air di Bukit Pinang (dekat sini), yang akan berakhir pada Oktober 2020,” katanya. — Bernama

Advertisement