Anda di sini

Ketengahkan isu-isu semasa yang relevan: Ahmad

Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan meminta semua pembicara dan pendebat agar bersiap sedia dengan isu-isu semasa yang relevan dengan negara pada Perhimpunan Agung UMNO mulai 25 hingga 29 Nov ini.

Beliau berkata persiapan rapi itu bukan sahaja perlu dilakukan pembicara dan pendebat pada persidangan perhimpunan agung UMNO tetapi semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Mudah-mudahan mereka boleh mengutarakan cadangan yang baik kepada pemimpin kita ketika Perhimpunan Agung UMNO. (Persediaan ini perlu) di semua peringkat Perhimpunan Agung UMNO. Jangan hanya melihat persidangan pada Jumaat dan Sabtu tetapi juga semasa Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Dia (semua sayap parti) ada pasukan (pembicara dan pendebat), masing-masing juga boleh membahaskan perkara yang saya sebutkan tadi (isu-isu semasa yang relevan dengan negara),” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pidato Piala Presiden UMNO peringkat Sabah di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Ahmad berkata antara perkara yang boleh dibangkitkan untuk dibahas dan dikongsi dengan semua perwakilan pada perhimpunan agung UMNO ialah berhubung modul kemenangan Barisan Nasional dalam beberapa pilihan raya kecil di seluruh negara termasuk kerusi yang dirampas pembangkang.

Misalnya, apakah kaedah yang diguna pakai sehingga BN berjaya menawan kerusi Parlimen Teluk Intan, Perak dan modul yang membolehkan calon BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan, dengan majoriti besar meskipun kawasan itu di negeri yang dikuasai pembangkang. — Bernama

Advertisement