Inisiatif kerajaan untuk menstabilkan institusi kekeluargaan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan ‘Kempen 10 Saat Pelukan Keluarga’ sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2014, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kempen itu adalah sebagai inisiatif dalam usaha menstabilkan institusi kekeluargaan ekoran gaya hidup ibu bapa kini yang kurang meluangkan masa bersama anak-anak kerana terpaksa bekerja.
“Pelukan secara tidak langsung akan mengaktifkan pengeluaran hormon oxytocin iaitu biokimia semula jadi dalam otak yang merangsang ikatan sosial dan hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak di mana ia juga boleh menurunkan tekanan darah, tekanan dan kolestrol,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan bulan keluarga berkenaan yang bertemakan ‘Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera’ di sini.
Selain itu, beliau berkata kajian mendapati berpelukan juga dapat menghindarkan perasaan resah dan takut dalam kalangan anak-anak.
“Menerusi penyelidikan psikoterapi daripada Virginia Satir (psikologist terkenal), kita perlu empat pelukan sehari untuk hidup. Manakala untuk kesihatan, kita perlukan lapan pelukan sehari dan untuk awet muda, disarankan sebanyak 12 kali pelukan dalam sehari,” katanya.
Rohani turut menyarankan semua majikan menggunakan peluang sepanjang bulan ini untuk mengadakan hari keluarga bersama pekerja masing-masing bagi memupuk ikatan kekeluargaan dalam hubungan pekerjaan. — Bernama