Anda di sini

Cleopatra Sati juara SKNE Idol

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

UNTUK KENANGAN: Peserta SKNE Idol merakamkan gambar kenangan.

CLEOPATRA Sati Mengga dari rumah Selindong yang mempertaruhkan lagu ‘Aus Pengerindu Ketegal Nuan’ nyanyian Rennee Pat telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir SKNE Idol yang berlangsung di Dewan Penghulu Narok, Sekolah Kebangsaan(SK) Nanga Entalau dekat Lubok Antu hujung minggu lalu.

Naib juara disandang oleh Rina Timban dari rumah Ulu Akup manakala Elissa Steffani dari Nanga Entalau di tempat ketiga.

Dengan kemenangan tersebut mereka menerima hadiah wang tunai serta piala, hamper dan sijil penyertaan.

Jurucakap pertandingan, Basri Todan berkata pertandingan SKNE Idol dianjurkan oleh SKNE Rangers dan Kelab Kebudayaan SKNE dengan kerjasama Jawatankuasa Kokurikulum dan PIBG SKNE telah disertai seramai 32 peserta dan dinilai bagi memilih 11 peserta yang layak ke Pertandingan Akhir.

“Pertandingan ini merupakan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah untuk memenuhi aktiviti sekolah selain memberi peluang murid-murid mengetengahkan bakat mereka.

“Ia juga bagi mencari bakat terpendam murid-murid pedalaman dalam bidang seni suara,” ujarnya,

sambil memberitahu program itu berjaya mendapat sambutan daripada pihak sekolah dan ibu bapa.

“Kejayaan penganjuran ini dapat menjadi pendorong kepada pihak sekolah menganjurkan program sebegini pada masa-masa akan datang.

“Melalui pertandingan tersebut kita dapat menilai sejauh mana penglibatan murid-murid dan minat mereka dalam bidang seni suara.

Pertandingan terbuka kepada murid-murid yang berumur 12 tahun ke bawah dan mereka bebas memilih tajuk lagu yang dipertandingkan.

Dalam pada itu SKNE telah berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun 2014 dan mengharapkan kejayaan berterusan pada tahun-tahun hadapan.

“Kejayaan ini juga atas komitmen semua pihak di sekolah yang mendapat kerjasama daripada PIBG yang aktif dalam membantu pihak sekolah,” katanya.

Advertisement