Anda di sini

Pengunjung PIIACUF 2014 dipelawa sertai program Diploma Seni Mushaf

Advertisement

PUTRAJAYA: Kolej Restu, kendalian Yayasan Restu mempelawa individu berkelayakan mengikuti program Diploma Seni Mushaf bagi mempelajari keindahan seni kaligrafi Islam.

Pensyarahnya Anissuriati Sawaruddin berkata pengambilan pelajar untuk sesi November kini sedang dibuka dan peserta boleh mendaftar di ruang pameran Kolej Restu sempena Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2014 yang sedang berlangsung di sini atau secara dalam talian.

“Mereka akan mengikuti pengajian selama dua setengah tahun dengan kelayakan masuk SPM/SPMV dengan kredit sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran. Ini satu-satunya kolej yang menawarkan kursus ini (seni kaligrafi Islam) di Malaysia,” katanya kepada Bernama sempena PIIACUF 2014 yang bermula Khamis dan berakhir hari ini, di sini semalam.

Anissuriati berkata antara subjek yang diajar ialah seni kaligrafi (nasakh) dan seni kaligrafi (kufi) serta penyalinan dan penerbitan mushaf.

Selain program diploma, beliau berkata kursus jangka pendek dua bulan turut ditawarkan antaranya seni khat, ‘Islamic English’ dan ‘Intensive Jawi & Methodology’.

Antara peluang pekerjaan graduan dalam jurusan ini ialah penuliskhat, jurukhat bahasa Arab profesional, pereka grafik serta peluang sebagai pensyarah di Kolej Restu sendiri, katanya.

Sempena PIIACUF 2014, Anissuriati berkata pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan menulis nama dalam tulisan khat dengan harga RM4 sehelai.

PIIACUF 2014 bertemakan ‘Keajaiban Dunia Islam’ di Kompleks Perbadanan Putrajaya menawarkan lebih 200 program berunsur kesenian Islam tempatan dan antarabangsa. — Bernama

Advertisement