Anda di sini

Penghayatan mendalam teater mampu ajar erti kehidupan

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

PENGHARGAAN: Awang Mazlan menyampaikan cenderamata kepada wakil SMK Beladin.

PENGHAYATAN yang mendalam dalam teater disifatkan mampu mengajar erti sebuah kehidupan dan pembangunan dunia teater di Sarawak terus menjadi agenda untuk diperkembangkan kepada generasi muda.

Pegawai Penyelaras Bengkel Asas Teater Seluruh Bahagian, Seksyen Pembangunan Kebudayaan (SPK) Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Negeri Sarawak, Jamilah Adenan memberitahu, menariknya seni teater sekiranya dihayati dengan betul membolehkan individu untuk mengenali seseorang dan membaca isi hati orangorang di sekeliling.

“Inilah yang dinamakan teater, dalamannya sangat kuat.

“Konsep ‘sedar diri, sedar ruang’ membolehkan kita menguasai teater dengan baik, yang mana ia membawa makna setiap apa yang dilakukan semestinya kita harus sedari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Bengkel Asas Teater Peringkat Bahagian Betong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK.) Beladin, baru-baru ini yang dikelolakan oleh Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian Betong dengan kerjasama SMK Beladin.

Jamilah menjelaskan, kerajaan sepanjang tahun ini giat menjalankan Bengkel Asas Teater di hampir seluruh bahagian Negeri Sarawak.

“Peringkat Bahagian Betong ini merupakan siri ke-10 jelajah Bengkel Asas Teater di Sarawak pada tahun ini, KPS Negeri Sarawak telah menjalankan bengkel seumpamanya di SMK Lundu (Bahagian Kuching), SMK Saint Luke (Bahagian Sri Aman), SMK Tunas Bakti (Bahagian Samarahan), Institut Pendidikan Guru, Maktab Rajang (Bahagian Sarikei), Daerah Marudi (Bahagian Miri), SMK Merapuk Lawas (Bahagian Limbang), Universiti Teknologi Mara Cawangan Mukah dan bakal berakhir di Bahagian Sibu akhir tahun ini.

“Hasrat KPS Negeri Sarawak ialah untuk memartabatkan seni teater supaya ia tidak akan pernah lenyap, kita mengharapkan akan ada kesinambungan teater berperingkat dan turun-temurun daripada generasi hari ini,” katanya.

Beliau mengulas sudut penerimaan golongan muda terhadap seni teater sebagai satu usaha positif yang bakal merancakkan dunia seni tanah air.

“Secara keseluruhannya saya melihat anak-anak muda di negeri ini mempunyai bakat dalaman yang sangat tinggi dalam bidang ini.

“Bakat yang mereka miliki cukup baik, buktinya apabila diberikan tugasantugasan, mereka boleh melaksanakannya di luar kotak pemikiran, idea-idea bernas cukup banyak dan menarik.

“Mereka cepat memahami, sedikit sebanyak mereka telah menguasai teater.

“Namun, seperti kelazimannya anak-anak yang berbakat ini tidak dibangunkan, mungkin tiada pendedahan, tiada dorongan untuk mereka menonjolkan bakat seni itu.

“Ekoran daripada itulah, KPS Negeri Sarawak setiap tahun melaksanakan Bengkel Asas Teater di seluruh Sarawak, malah di Kuching turut diadakan Kursus Teater Mingguan untuk mereka yang ingin menguasai dan mendalami dunia teater.

“Hal ini kerana kita percaya, mereka kebanyakannya yang hadir mengikuti Bengkel Asas Teater ini hanya perlu digilap sedikit dan diberikan ruang dan peluang untuk menonjol,” tegasnya.

Beliau mengakui tiga orang guru (Muhammad Husni Abu Hassan, Samantha Rayne Anty dan Cecilia Ceci Paulus) dan 26 pelajar yang mengikuti Bengkel Asas Teater bermula 24 hingga 26 Oktober yang lalu mampu mewarnai dunia seni tanah air sekiranya laluan yang betul ditunjukkan.

“Oleh yang demikian, kita di KPS Negeri Sarawak berharap mereka yang bertuah ini dapat menggunakan sebaik mungkin peluang yang disediakan oleh kerajaan sebagai langkah pertama, dan akan menaiki tangga ke satu tangga yang seterusnya untuk berjaya dalam dunia seni.

“Aktivis teater berpengalaman, Ernie Doris yang kita berikan kepercayaan untuk berkongsi ilmu teater di SMK Beladin ini mampu memberikan laluan yang sangat luas.

“Walau bagaimanapun, komitmen dan keinginan yang kuat 29 anak muda ini sendiri merupakan aspek utama kemajuan mereka,” tambahnya.

Jamilah turut menyatakan hasrat agar usaha selama tiga hari itu tidak akan berakhir di situ sahaja.

“Peranan pihak-pihak tertentu, sekolah dan individu sendiri sangat penting untuk memastikan anak-anak muda di Bahagian Betong terus menguasai seni teater dan tidak mustahil mampu melakar corak dalam industri seni negara suatu hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian Betong, Awang Mazelan Awang Majid menyatakan keterujaan terhadap komitmen dan bakat yang ditunjukkan oleh wakil SMK Beladin yang mengikuti Bengkel Asas Teater berkenaan.

“Saya akui pelajar dan guru yang terlibat sememangnya berbakat besar ditambah dengan minat untuk belajar.

“Mereka mampu untuk memahami apa yang diajarkan pada masa yang singkat, justeru itu saya berharap agar dengan adanya Bengkel Asas Teater seperti ini memberi kesan dan peluang untuk mereka terus mengembangkan bakat.

“Semoga seni teater terus subur dan diminati oleh generasi muda masa dewasa ini,” tegasnya bersemangat.

Muhammad Izuan Zaidi dan Gloria Lency Sazali telah diumumkan sebagai peserta terbaik Bengkel Asas Teater Peringkat Bahagian Betong.

Aktivis Seni Teater Sarawak, Ernie Doris telah berada di dalam industri teater sejak tahun 1998 dan mula aktif bergelar fasilitator teater pada tahun 2008.

Beliau merupakan satu-satunya penggiat seni teater berbangsa Dayak di Negeri Sarawak dan sumbangan aktifnya dalam dunia teater di Bumi Kenyalang meletakkan nama beliau sebaris dengan anak seni yang lain.

Ernie merupakan Timbalan Presiden Kelab Teater Natural Image Actor Studio, Ahli Persatuan Karyawan Sarawak, Ahli Persatuan Ngoncong serta terlibat juga dalam Program Sastera dan Budaya, Program Latihan Khidmat Negara.

Advertisement