KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara disaran mewujudkan akta baharu iaitu Akta Antikeganasan bagi memperkukuh aspek pencegahan kegiatan keganasan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata selain meminda undang-undang sedia ada terutama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memperketatkan lagi kawalan aktiviti keganasan, terutama pengawalan penyaluran dana untuk aktiviti itu.
“Ia hendaklah mengambil kira soal pencegahan yang digunakan, (iaitu) aspek perkakasan atau apa jua medium bagi menentukan keganasan dapat dicegah, bukan sahaja melalui kaedah pencegahan lazim yang dilakukan.
“Tetapi ia mesti diperundangkan dengan wujudnya akta baharu,” katanya selepas merasmikan seminar Jihad Vs Militan di sini, semalam.
Bernama melaporkan 23 Okt lepas, Polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menahan 40 orang, yang disyaki merancang menyertai kumpulan pengganas di Syria termasuk merekrut rakyat tempatan untuk kononnya berjihad di Syria, sejak Februari tahun lepas.
Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Selasa lepas sebanyak 167 rakyat negara ini terlibat dengan kegiatan militan di luar negara sejak 2001.
Ahmad Zahid berkata draf rang undang-undang Akta Antikeganasan itu dibuat berdasarkan rujukan dari tujuh negara, yang menggunakan perundangan sama agar tiada penganiayaan berlaku terhadap individu ditahan.
Beliau menambah, kuasa eksekutif menteri dalam negeri juga tidak akan digunakan sebaliknya kuasa ahli panel atau ahli lembaga pencegahan antikeganasan digunakan, jika akta baharu itu diluluskan.
Justeru kuasa itu tidak tertakluk pada seorang saja malah ia akan diputuskan secara bermesyuarat mengikut majoriti.
“Akta ini digunakan semata-mata untuk pencegahan, dan jangan risau ia akan melindungi mana-mana pihak. Kuasa eksekutif tidak akan digunakan sebaliknya kuasa panel,” katanya.
Ahmad Zahid turut mencadangkan Peguam Negara supaya meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi membenarkan intipan komunikasi digunakan sebagai bukti di mahkamah dalam usaha membendung keganasan di negara ini.
Katanya, pada masa ini, intipan komunikasi tidak boleh dikemukakan sebagai keterangan di mahkamah.
“Contohnya, seorang suspek yang kini dalam tahanan polis selama 17 hari kerana dipercayai menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas. Keluarga suspek tidak dapat menerima penahanan itu mengatakan suspek adalah seorang yang baik.
“Tetapi berdasarkan pemantauan sosial media yang beliau aktif, bukan sahaja terdapat simpati suspek terhadap kumpulan pengganas, tetapi juga ada keterlibatan suspek.
“Begitu juga alat komunikasi yang digunakan, juga tidak diketahui anggota keluarga. Hanya suspek dan rangkaian kumpulan pengganas sahaja tahu selain polis. Sebab itu kita perlu undang-undang pencegahan,” katanya. — Bernama