Anda di sini

Teliti dari pelbagai aspek: Pairin

Advertisement

KOTA KINABALU: Isu kanak-kanak tanpa bernegara di Sabah perlu diteliti dari pelbagai aspek khususnya berkaitan perlembagaan dan pandangan rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, cadangan pemberian surat beranak sebagai langkah menangani isu berkenaan perlu diteliti secara terperinci.

Menurutnya, jika bercakap mengenai pemberian surat beranak, perlu diketahui sama ada kanak-kanak terbabit anak kepada warga tempatan atau tidak.

“Jika tidak diketahui asal-usul mereka, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan untuk memberikan mereka surat beranak.

“Terdapat prosedur yang perlu diambil kira kepentingannya dan kerajaan negeri perlu jelas siapa ibu bapa kepada kanak-kanak tanpa bernegara itu.

“Sekiranya pemberian surat beranak dibuat berdasarkan faktor perikemanusiaan semata-mata, ia boleh dianggap asas yang merbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) yang diketuai oleh pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye di sini kelmarin.

Pairin berkata, di Sabah sudah ada beberapa dakwaan mengenai warga asing yang senang memperolehi kad pengenalan dan juga pengundi hantu.

Justeru jelasnya, tidak perlulah menambahkan lagi isu sedia ada dengan mencadangkan supaya kanak-kanak tanpa bernegara diberikan surat beranak.

Menurutnya, kajian terperinci dan serius perlu dijalankan dalam mengenal pasti status kanak-kanak tanpa bernegara di negeri ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat Rabu lepas menjelaskan isu kanak-kanak tanpa bernegara akan dapat diatasi sebaik sahaja laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan di parlimen tidak lama lagi.

Menurutnya, buat masa ini cadangan untuk membrikan golongan kanak-kanak terbabit surat beranak adalah bagi membolehkan mereka bersekolah.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai unit bergerak yang sentiasa bersedia turun padang membantu menguruskan permohonan kewarganegaraan kepada golongan kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, jika isu berkenaan tidak dipolitikkan, masalah berkenaan boleh diselesaikan.

Advertisement