Anda di sini

Mayat ditemui tepi tembok

Advertisement

KUDAT: Beberapa pengunjung di Esplanade Sidek berhampiran Pekan Kudat heboh seketika ekoran penemuan mayat seorang lelaki tempatan di pesisir tebing tembok pantai di situ pagi Selasa lepas.

Dalam kejadian jam 6.46 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ondili Inongkuan, 63, yang difahamkan pengerusi JKKK Kampung Hobut, di sini ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan mempunyai kesan luka di bahagian kening kanannya.

Turut ditemui dalam pakaian mangsa adalah seunit telefon bimbit, dompet dan wang tunai.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintenden Dawi Ossen ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daerah Kudat untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal kes ini telah diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

“Kita masih menjalankan siasatan terperinci sama ada terdapat unsur jenayah terjadi dalam kes ini dan sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil segera ke mana-mana balai terdekat,” katanya di sini kelmarin.

Advertisement