Anda di sini

Lelaki didenda kerana usahakan kedai siber atas talian haram

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,500 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menjalankan perniagaan kedai siber atas talian secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah tertuduh, Tony Tinggi, 22, dari Nanga Salim, Sibu mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai penjaga tempat hiburan didapati telah menjalankan kegiatan mesin judi secara atas talian tanpa mempunyai lesen yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 malam, 22 Oktober lalu di tingkat bawah sebuah premis di Jalan Bendahara di sini.

Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Inspektor Koay Kok Ping menyerbu premis tersebut kerana dipercayai menjalankan kegiatan mesin judi secara atas talian tanpa mempunyai lesen sah.

Dalam serbuan itu, polis telah menangkap seorang lelaki yang merupakan penjaga premis dan merampas 11 set komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian dan wang tunai RM211.

Tertuduh bersama barangan yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.

Advertisement