Anda di sini

Kerajaan tidak dimaklum tentang Persidangan ISMA

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri tidak dimaklumkan dan tidak pernah memberi kebenaran bagi penganjuran Persidangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang diadakan di sebuah hotel pada 24 dan 25 Oktober lalu.

Menurut satu kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri, persidangan atau mana-mana acara serupa boleh mengganggu keharmornian atau keselamatan negeri ini.

Justeru, mereka yang terlibat sama ada dalam penganjurannya atau sebagai peserta aktif tidak akan dibenarkan memasuki atau tinggal di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut menegaskan bahawa kehadiran mana-mana individu di negeri ini yang boleh menggugat keharmornian dan perpaduan sedia ada di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama atau keamanan dan keselamatan Sarawak, akan dilarang daripada memasuki atau terus tinggal di negeri ini di bawah peruntukan Akta Imigresen (Akta 155),” demikian menurut petikan kenyataan tersebut.

Sementara itu, penangkapan seorang pegawai penguatkuasaan dan beberapa individu baru-baru ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembalakan haram adalah manifestasi jelas bagi komitmen tegas kerajaan negeri untuk membendung dan menghapuskan semua aktiviti pembalakan haram.

Tangkapan itu turut mencerminkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berpegang kepada janji dalam keseriusan kerajaan menangani pembalakan haram dan perdagangan kayu yang ditebang secara haram.

Tiga seminar kesedaran mengenai integriti pegawai penguatkuasaan telah diadakan di Kuching, Sibu dan Miri baru-baru ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memupuk disiplin dan integriti di kalangan pegawai penguatkuasaan.

Ia juga merupakan bukti jelas akan kesungguhan kerajaan dalam tindakannya ke atas pegawai penguatkuasaan yang gagal atau mengabaikan kewajiban mereka dengan jujur dan secara profesional.

Advertisement