Anda di sini

Isteri, anak dibelasah suami mabuk

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

Suspek pendiam, tapi bertukar panas baran bila dipengaruhi alkohol

SIBU: Seorang wanita dan anak lelakinya yang masih kecil dipercayai menjadi mangsa belasahan tanpa sebab oleh suaminya yang panas baran ketika mengamuk di sebuah rumah di Kampung Sentosa di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada jam 4 petang Jumaat lepas itu, pengadu, 28, dan anak lelakinya berumur tujuh tahun dipercayai dipukul oleh suaminya yang berada di bawah pengaruh alkohol selepas sesi minum.

Akibatnya, pengadu mengalami lebam dan luka di bahagian kepala, badan dan tangan.

Tidak cukup mencederakan isteri, suspek dipercayai turut mencucuh puntung rokok di tapak kaki anak lelakinya, selain turut mengalami lebam dan luka di kepala.

“Saya tidak tahu apa sebab suami saya bertindak me-lampau sehingga sanggup memukul saya dan anak saya. Dia seorang pendiam jika tidak minum, tetapi apabila mabuk dia bertukar menjadi panas baran,” kata pengadu.

Katanya, suaminya bekerja sebagai pemandu lori membawa beberapa orang rakan pergi ke rumah pada petang Jumaat lalu untuk sesi minum.

Namun, selepas sesi minum suaminya tiba-tiba naik angin dan bertindak di luar dugaannya.

Polis bertindak daripada maklumat pergi ke lokasi kejadian menahan suspek di rumahnya.

Menurut pengadu, anak lelakinya dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan dan dia ber-malam untuk menjaga anaknya di hospital.

“Kini kami dua beranak terpaksa mencari tempat berteduh sementara di rumah saudara di bandar ini sejak insiden itu,” katanya.

Suami pengadu ditahan polis dan direman hingga hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Advertisement