Anda di sini

Polis Kulim tumpas ‘Geng Jawa’ selepas 16 jam merompak

Advertisement

KULIM: Polis menahan lapan anggota ‘Geng Jawa’ kira-kira 16 jam selepas mereka merompak wang tunai RM30,000 dari sebuah rumah di Taman Kenari di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata kesemua lelaki itu melarikan wang tunai berkenaan selepas memukul mangsa dalam rompakan kira-kira jam 3.20 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke tempat kejadian dan menahan seorang suspek manakala suspek lain dapat memboloskan diri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata polis kemudian menyerbu sebuah rumah kosong di kawasan perumahan sama dan menahan lima suspek kira-kira jam 3 petang pada hari sama.

Seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Merak, Sungai Ular dekat sini kira-kira jam 6 petang manakala seorang lagi ditahan di Jalan Sultan Abdul Hamid di sini pada jam 9.45 malam.

“Polis dapat menahan semua anggota kumpulan itu dalam tempoh 16 jam untuk menyelesaikan kes samun berkenaan.

“Polis turut merampas empat bentuk cincin emas, 11  telefon bimbit pelbagai jenis, dua komputer riba, lapan peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 3.79 gram.

“Sebuah kereta Jenis Toyota Vios yang dipercayai disamun di Seberang Jaya, dua bilah parang, sebuah kereta jenis Perodua Viva yang digunakan untuk menyamun serta empat rangkai kunci dan alat kawalan jauh turut dirampas,” katanya.

Semua suspek berusia 23 hingga 30 tahun itu direman hingga 2 Nov ini bagi membantu siasatan.

Abdullah berkata kumpulan itu aktif melakukan jenayah sejak beberapa bulan lepas di sekitar daerah ini dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. — Bernama

Advertisement