Anda di sini

Pertandingan Pencak Silat, Bertandak Melayu, 8 Nov

Advertisement

KUCHING: Perguruan Seni Silat Ringkas Empat dengan kerjasama Pejabat Daerah Samarahan akan menganjurkan Pertandingan Pencak Silat dan Bertandak Melayu Asli Peringkat Samarahan di ruang legar pusat Membeli-Belah Summer, Kota Samarahan pada 8 November depan.

Timbalan pengerusi penganjur, Mohammad Hadi Bolhen berkata lapan kategori dipertandingkan untuk acara silat antaranya solo kanak-kanak lelaki dan wanita (13 tahun ke bawah), solo remaja lelaki dan wanita (14–19 tahun), solo terbuka lelaki dan wanita, silat jurus berpasukan dan silat tempur tanpa senjata berpasangan (lelaki).

“Pertandingan ini bertujuan mencungkil pesilat-pesilat baharu untuk kita ketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Mereka ingin turut serta dikenakan yuran sebanyak RM5 bagi setiap seorang,” katanya sambil menambah tema pertandingan ‘Warisan Diperkasa Agar Tidak Ditelan Zaman’.

Hadi berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penganjur di Pejabat Residen Samarahan semalam yang turut dihadiri Pegawai Daerah Samarahan, Mohd Ainnie Wahab serta wakil pelbagai jabatan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat.

Menurutnya, acara Bertandak Melayu Asli pula hanya akan mempertandingkan kategori Berpasangan Lelaki.

Bagi kategori tersebut, pengiring akan membantu peserta dengan menyampaikan tiga pantun semasa pertandingan berlangsung bagi memudahkan mereka tahu had tarian.

Mereka berminat boleh menghubungi Razali Amat (019-8368358) atau Riduan Drahman (016-8597058).

Pemenang tempat pertama hingga ketiga acara pencak silat akan menerima hadiah wang tunai, piala, hamper serta sijil penyertaan.

Manakala tempat keempat dan kelima membawa pulang wang tunai, piala dan sijil penyertaan.

Bagi kategori Bertandak Melayu Asli, pemenang tempat pertama hingga ketiga akan menggondol wang tunai, piala, hamper dan sijil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Sri Mohammad Ali Mahmud dijangka merasmikan penutupan pertandingan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Advertisement