Penggunaan logo PDRM menjurus salah guna kuasa: KPN
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang memberi amaran kepada pertubuhan sukarela komuniti di negeri ini supaya tidak menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan tugas mereka.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata tindakan menggunakan logo PDRM itu boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan mengelirukan orang ramai.
“Pertubuhan sukarelawan terutamanya pengawasan komuniti harus guna logo mereka sendiri. Tak boleh cetak logo polis pada baju-T atau jaket. Kalau ada kena tukar uniform.
Tapi setakat ini kami belum terima aduan rasmi daripada orang ramai.
Kami minta kerjasama masyarakat kalau ada ternampak…kerana ini salah tapi kalau polis bantuan tidak mengapa,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program PDRM bersama pelanggan di Sunshine Farlim, di sini semalam.
Beliau berkata mengikut Akta Polis 1967 tiada peruntukan untuk pertubuhan peronda sukarelawan menggunakan logo PDRM dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika perkara sedemikian didapati berlaku di negeri ini.
Dalam pada itu Abdul Rahim mengisytiharkan Pulau Pinang ‘bersih’ dari aktiviti mesin judi haram melainkan premis yang dilesenkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Kementerian Kewangan.
“Saya sahkan tiada lagi aktiviti mesin judi haram di negeri ini. Ia hasil operasi berterusan yang kita laksanakan dan setakat ini 68 premis telah dipotong bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Beliau turut mencabar pihak tertentu yang mempunyai maklumat tentang aktiviti perjudian haram di negeri ini supaya tampil membuat aduan.
Laporan sebuah akhbar tempatan semalam mempersoalkan sikap lesu pihak berkuasa termasuk PDRM dalam menangani isu mesin judi haram yang seolah-olahtidak berkesudahan sehingga mengecewakan orang awam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). — Bernama