Anda di sini

Ngap Sayot jinak Superlawak

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

TUKAR CENDERAMATA: Mohd Ali Sapiee menyampaikan cenderamata kepada Datuk AC Mizal sebelum perlawanan bermula di Stadium Negeri malam kelmarin.

Kira-kira 10,000 penonton terhibur saksi perlawanan di Stadium Negeri malam kelmarin

KUCHING: Penampilan beberapa pemain lagenda Ngap Sayot dan Bujang Senang dalam siri perlawanan bola sepak persahabatan menentang Superlawak FC di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin ternyata berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 penonton.

Dalam perlawanan tersebut, Lagenda Sarawak berjaya menumpaskan Superlawak FC yang dibarisi selebiriti tanah air dengan jaringan 6-4.

Lagenda Sarawak dibarisi arkitek Ngap Sayot, Mohd Ali Sapiee selaku kapten pasukan selain pasangan kembar, Ramos dan Ramles Sari serta bekas kapten kebangsaan, Bobby Pian dan Mohd Firdaus Ishak.

Lebih mencuri tumpuan, pemain lipas kudung yang beraksi ketika era Alan Vest iaitu Affendi Julaihi yang turut membarisi Lagenda Sarawak dan beberapa pemain veteran lain.

Superlawak FC pula diketuai pengacara terkenal Datuk AC Mizal, Shuib Sepahtu, Jep Sepahtu, Rahim, Atu, Along, Achey, Fad Bocey dan ramai lagi.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi memukau dan mencuit hati sepanjang 90 minit perlawanan.

Tamat sahaja perlawanan, peminat tidak melepaskan peluang untuk mendekati selebiriti kegemaran mereka dengan menyerbu ke dalam padang sebaik wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Penonton yang hadir turut disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Datuk AC Mizal selain cabutan nombor bertuah.

Kuching merupakan destinasi ketiga siri jelajah Superlawak FC dan seterusnya pasukan selebriti tanah air itu akan menentang Lagenda Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebelum meneruskan jelajah Negeri Jelapang Padi, Kedah dan juga Perak.

Advertisement