Anda di sini

Najib ziarah tiga veteran UMNO yang uzur di Pekan

Advertisement

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa menziarahi tiga veteran Umno yang uzur di sekitar kawasan Pekan.

Mereka ialah bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Ghazali Kasim, 83, bekas Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Pekan Datin Zamzam Abdul Samah, 81, dan bekas Anggota Jawatankuasa Penerangan UMNO Bahagian Pekan Abdul Rahman Ahmad, 76.

Najib bersama rombongan tiba di Kampung Parit Tengah di sini kira-kira jam 9.40 pagi untuk menziarahi Ghazali dan Zamzam yang tinggal di kampung itu sebelum ke Peramu Jaya 3 untuk menziarahi Abdul Rahman.

Ghazali yang menghidap penyakit parkinson sejak 10 tahun lalu, jelas amat terharu dengan kesudian dan keprihatinan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan menziarahi beliau dan keluarganya.

“Saya sebak dan amat terharu kerana beliau yang merupakan pemimpin nombor satu negara tetapi masih sudi meluangkan waktu untuk menjenguk dan bertanya khabar tentang diri saya. “Saya akui Datuk Seri Najib tidak memiliki sifat sombong dan mudah mesra dengan sesiapa walaupun telah menjadi pemimpin tertinggi negara,” katanya yang turut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Najib.

Ghazali yang memegang jawatan pengerusi tetap selama 14 tahun dan juga  bekas guru dan pernah bertugas selama 25 tahun, kini sentiasa ditemani isterinya Datin Seri Razmah Zainuddin, 79.

Selepas berada di rumah Ghazali kira-kira 30 minit, Najib kemudiannya melawat Zamzam yang kini mengalami sakit tulang, pinggang dan lutut di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah Ghazali.

Beliau yang menjadi Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Pekan selama 19 tahun dan tidak lagi aktif dalam parti, turut melahirkan rasa gembira atas keprihatinan Najib yang tidak pernah melupakan veteran UMNO sepertinya.

Najib selepas itu melawat Abdul Rahman yang merupakan kenalan beliau di kediamannya di Peramu Jaya 3.

Kehadiran Najib menggembirakan Abdul Rahman sekeluarga yang menyifatkan kunjungan itu sebagai sesuatu yang amat bermakna.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang mudah dan suka menolong orang dengan tanpa banyak soal dan saya tidak menyangka Datuk Seri Najib akan melawat saya di rumah. Terima kasih banyak,” kata bekas Ketua Kampung Peramu Jaya itu. — Bernama

Advertisement