Anda di sini

Mahasiswa boleh bantu perjelas pembangunan kepada masyarakat

Advertisement

JOHOR BAHARU: Mahasiswa boleh memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada masyarakat untuk terus melibatkan diri dengan kerancakan arus pembangunan di Johor.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mahasiswa adalah ejen perubahan dan perantaraan kerajaan bagi menerangkan sesuatu isu dengan lebih jelas kepada masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman.

“Oleh yang demikian, program berbentuk sukarela dan kemasyarakatan perlu digerakkan secara meluas. Ia merupakan nadi penting kepada sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus,” katanya ketika berucap melancarkan Duta Jauhar, Mahasiswa Johor Prihatin di Gelang Patah, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Md Jais Sarday, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Duta Jauhar, Mahasiswa Johor Prihatin Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Duta Jauhar merupakan program yang melibatkan mahasiswa sebagai ikon, jurucakap dan ejen pembangunan bagi masyarakat setempat.

Seramai 300 mahasiswa Johor dari 13 institusi pengajian tinggi awam dipilih sebagai Duta Jauhar untuk program perintis kali ini.

Mohamed Khaled berkata mahasiswa yang dipilih akan menjadi penggerak program berdasarkan idea kreatif yang menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru dan Perancangan Berasaskan Hasil, yang bakal memberi pelbagai manfaat di 10 daerah di negeri ini.

Antara yang akan dilaksanakan ialah projek keusahawanan penternakan burung puyuh secara ekspres oleh mahasiswa UKM, yang menyasarkan golongan miskin tegar dapat membantu menjana pendapatan bulanan sehingga 60 peratus melalui pelan strategik jangka masa panjang. — Bernama

Advertisement