Anda di sini

192,365 wanita sertai subsidi mamografi: Azizah

Advertisement

KOTA KINABALU: Seramai 192,365 wanita di seluruh negara sudah mengikuti program subsidi ujian mamografi sejak program itu diperkenalkan pada 2007, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata daripada jumlah itu,  15,522 orang memerlukan pemeriksaan susulan manakala 204 kes disahkan positif kanser payudara.

“Kini terdapat 62 pusat mamografi swasta berdaftar di bawah program ini berbanding hanya 15 semasa peringkat awal ia perkenalkan,” katanya semasa merasmikan program ‘Ucap Selamat Tinggal Kepada Kanser Payudara’ peringkat negeri di sini semalam.

Program berkenaan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Avon Cosmetic (M) Sdn Bhd.

Azizah berkata di Sabah terdapat dua buah pusat mamografi swasta yang dilantik sejak tahun 2009 iaitu  Rafflesia Medical Centre dan Damai Specialist Hospital.

Katanya, bagi memperluas ujian mamografi kepada golongan wanita di luar bandar di Sabah, kerajaan turut menyediakan kemudahan bantuan termasuk elaun makan dan minum jika melebihi jarak 200 kilometer.

Menurut Azizah wanita dari luar bandar seperti Sandakan, Sapi Nangoh, Telupid, Ranau,Beaufort,  Sipitang, Membakut, Kota Belud, Papar, Kudat, Kota Marudu, Keningau dan Tambunan boleh dibawa oleh LPPKN untuk menjalani ujian mamografi di pusat-pusat yang ditetapkan.

Mengenai program itu, katanya ia merupakan kerjasama LPPKN dan Avon dan pada tahun lalu program itu berjaya menarik penyertaan seramai 5,737 wanita bagi menjalani pemeriksaan kanser payudara dan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘The Largest Mobile Breast Cancer Check Up Event’.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Avon, Farizan Lod berkata program itu memberikan perkhidmatan kesihatan secara terus dan percuma kepada masyarakat setempat mahupun luar  bandar.

Program ‘Ucap Selamat Tinggal Kepada Kanser Payu Dara’ dijalankan di 11 lokasi seluruh negara meliputi  enam zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Pantai Timur, Zon Sabah dan Zon Sarawak. — Bernama

Advertisement