Anda di sini

13,728 botol air mineral membentuk Jalur Gemilang

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

BANGGA JADI ANAK MALAYSIA: Semua warga sekolah mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik Jalur Gemilang.

KREATIF: Konvoi berbasikal yang disertai oleh tujuh orang murid.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Lutong di Miri telah mengitar semula sebanyak 13,728 botol air mineral untuk membentuk bendera Jalur Gemilang yang diletakkan di tepi pagar sekolah tersebut.

“Ia menjadi kebanggaan sekolah bagi menandakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 negara,” kata penyelaras program sambutan Bulan Kemerdekaan SK Lutong Josephine Ambon.

Beliau berkata, projek itu menggunakan botol air mineral 500ml dan mengambil masa satu bulan untuk menyiapkannya selepas kempen mengumpul botol dilancarkan pada 4 Ogos lepas.

Selepas mereka berjaya mengumpul jumlah botol yang diperlukan pada 18 Ogos, Josephine dan Ketua Panitia Sivik dan Kewarganegaraan Hirawati Abdul Rahman mula menyusun botol di pagar sekolah.

“Kami dibantu oleh murid- murid dan ibu bapa sehingga projek itu selesai pada 5 September lepas. Saiz keseluruhan replika bendera Jalur Gemilang ini adalah 220 kaki panjang dan enam kaki lebar.

“Ini adalah cara kami menunjukkan semangat patriotik,” katanya.

Pada 26 September lepas, beliau berkata, sekolah tersebut turut mengadakan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dengan tema ‘Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

Acara ini telah diadakan di dewan sekolah yang melibatkan semua komuniti sekolah serta dianjurkan oleh Pusat Sumber dan Panitia Sivik dan Kewarganegaraan SK Lutong.

Sempena majlis penutupan itu, beberapa aktiviti sampingan diadakan seperti konvoi melibatkan tujuh orang murid yang berarak dengan basikal dihiasi bendera kebangsaan, penyampaian Jalur Gemilang kepada Guru Besar SK Lutong Saufie Saait, koir lagulagu patriotik, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Hiasan Kelas dan Peraduan Pakaian Tradisional untuk para guru dan murid.

KAMI ANAK MALAYSIA: Koir lagu Patriotik ‘Warisan’ oleh murid-murid Tahun 5 Bestari.

Advertisement