Anda di sini

Pengesanan awal kanser payudara mampu menyelamatkan nyawa

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2014 di HUS baru-baru ini. Turut kelihatan Timbalan Pengarah HUS Dr Mohd Asri Riffin (kiri).

PERCAYA atau tidak penyakit kanser payudara mencatat kes hampir 5,000 setahun di negara ini.

Paling menggerunkan apabila barah pembunuh nombor satu kepada wanita itu menyaksikan kira-kira 40 peratus risiko seseorang wanita boleh menghidap penyakit tersebut sekiranya ia tidak dikesan lebih awal.

Bukan setakat itu sahaja, antara yang paling menakutkan apabila laporan kematian akibat penyakit menunjukkan peningkatan iaitu 320 kes sahaja pada tahun 2000 kepada 339 kes pada 2004.

“Bagaimanapun saya percaya ia meningkat dan sehingga tahun ini ia boleh mencapai 1,000 pesakit berdaftar.

“Ini ekoran daripada faktor keengganan pesakit melakukan pemeriksaan awal atau malu berbuat demikian yang membawa kepada jumlah pesakit kian meningkat,” kata Ketua Jabatan Pembedahan Am Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Nik Azim Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2014 anjuran Kumpulan Sokongan Kanser Payudara (BCSG) di HUS yang disempurnakan Setiausaha Politik Ketua Menteri dan Penaung Pink Ribbon Support Group Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di HUS baru-baru ini.

Jelas Dr Nik, kanser payudara dan kanser servik merupakan dua barah yang dapat dirawat atau bebas daripada pesakit sekiranya ia dikesan lebih awal bagi memudahkan rawatan dijalankan.

“Untuk melakukan pembedahan tidak menjadi masalah dalam hal ini tetapi untuk meningkatkan status kesihatan populasi itu menjadi isu utama.

“Kemudahan atau peralatan di hospital di negara kita bukan faktor kerana kita mempunyai kemudahan yang hampir sama dengan negara maju seperti Amerika Syarikat.

“Namun kini yang menjadi isu adalah pesakit itu sendiri yang tidak mahu menjalankan pemeriksaan atau enggan mendapatkan rawatan pada peringkat awal,” tegasnya.

Dr Nik yang juga pengerusi BCSG HUS mendedahkan, di negeri ini sama seperti di tempat lain kanser yang paling biasa berlaku di kalangan wanita Sarawak juga adalah payudara.

Jika dilihat pada Epidemiologi Kanser di Sarawak yang dicatatkan dalam lima tahun bagi dua tempoh iaitu 1996 hingga 2000 dan 2001 hingga 2005, kanser payudara terus menunjukkan peningkatan dan teratas.

TIDAK KIRA USIA: Gambar menunjukkan kanser payudara yang dialami seorang pesakit remaja.

Pada tempoh lima tahun iaitu 2001 hingga 2005 Sarawak mencatat 834 kes atau 17.5 peratus kanser payudara dan ia menunjukkan peningkatan berbanding lima tahun sebelumnya (1996 hingga 2000) yang hanya 790 kes atau 16.2 peratus.

Beliau memberitahu, menurut Laporan Pendaftar Kanser Kebangsaan 2010, kanser payudara menduduki tangga teratas iaitu 35.9 peratus insiden per 100,000 populasi rakyat Malaysia diikuti kanser usus 28.9 peratus dan kanser paru-paru (20.6 peratus).

“Satu daripada lapan orang wanita di negara ini akan menghidapi kanser payudara berdasarkan jumlah pesakit yang kian meningkat dari tahun ke tahun.

“Jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payudara lebih rendah iaitu 43 peratus,” ujarnya.

Dr Nik sekali lagi menegaskan, ia disebabkan bukan kerana kelengkapan perubatan hospital yang kurang atau lama tetapi kesedaran dan kedegilan masyarakat yang enggan menjalani pemeriksaan di hospital.

Jika dilihat dari segi peringkat umur yang berisiko, kanser berkenaan tidak mengenal usia, bangsa mahupun latar belakang malahan ia pernah mencatatkan pesakit paling muda pernah mengalami kanser berkenaan adalah pada usia enam tahun.

Menurut sumber sebuah portal, kanser payudara dibahagikan kepada empat tahap, iaitu tahap pertama ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2cm ataupun kurang daripadanya.

Pada tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

Bagi tahap kedua pula, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat antara 2cm hingga 5cm.

Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.

Sementara peringkat ketiga kanser ini, saiz ketulan kanser payudara berukuran 5cm.

Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit atau otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

Tahap keempat serangan kanser ini akan menjalar kepada bahagian serta organorgan yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara.

Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan kanser payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paruparu, hepar atau tetulang penghidapnya.

Bagi pesakit kanser ini, antara rawatan yang digunakan termasuk pembedahan, rawatan radiasi, rawatan hormon dan kemoterapi.

Selain itu pesakit juga boleh menjalani pembedahan konservatif iaitu kepada pembuangan sebahagian daripada payudara sahaja, iaitu bahagian di mana kanser berada.

Mastektomi merupakan pembedahan di mana seluruh payudara ‘dibuangkan’.

Di Malaysia, kerajaan telah menggalakkan atau mewujudkan lagi kesedaran di kalangan wanita khasnya dalam menjalani pemeriksaan lebih awal.

Kerajaan telah memperuntukkan bajet khas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membolehkan rakyat menjalani pemeriksaan mammogram.

Advertisement