Anda di sini

Sasar produk untuk pasaran global

Advertisement

Oleh Mohd Achil Norrlatep

 

MIRI: Usahawan tempatan harus sedar produk mereka boleh menembusi pasaran global, bukan hanya dalam pasaran tempatan sahaja.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, untuk merealisasi hasrat itu, produk mereka harus mempunyai tiga elemen utama seperti bermutu tinggi, harga berpatutan dan halal.

“Usahawan produk tempatan harus sedar bahawa produk mereka berpeluang ke pasaran lebih tinggi,” katanya dalam satu sidang media pelancaran Karnival Industri Asas Tani (IAT) bersama Giant Hypermarket di Permy Mall, Miri semalam.

Menurutnya, sudah terbukti bahawa ramai usahawan seluruh negara di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya memasar produk masing-masing.

Jelasnya, ini secara tidak langsung membuka mata usahawan itu sendiri selain menarik ramai pengguna.

“Dari peringkat pemprosesan, pembungkusan dan sehingga ke peringkat akhir, ia diselia serta dijaga kualiti secara keseluruhan apabila produk diletak di pasar raya besar,” jelasnya lagi.

Tambahan pula katanya, semua produk keluaran usahawan FAMA juga mempunyai pengiktirafan halal.

“Pengguna juga tidak akan berasa waswas untuk mengguna atau makan produk usahawan FAMA ini,” ujar Ahmad Lai.

Sehingga kini, Sarawak mempunyai sekitar 449 ahli berdaftar di bawah FAMA dimana sekitar 100 adalah daripada bahagian Miri.

Karnival berkenaan dilancarkan semalam dan ia dijangka berakhir pada Ahad ini dimana ia mengumpul usahawan-usahawan FAMA di kawasan Miri.

Advertisement