Anda di sini

Rakyat jangan terpengaruh pembohongan isu GST

Advertisement

MIRI: Rakyat dinasihat memahami dengan jelas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) supaya tidak terkeliru dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Ripin Lamat berkata, ada pihak memutarbelitkan fakta mengenai GST.

“Kononnya enam peratus berganda di setiap peringkat bermula daripada pengilang, pemborong, peruncit dan akhirnya pengguna sehingga jumlah terkumpul cukai 24 peratus. Ini tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar GST Kawasan Parlimen Sibuti bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Tunku Abdul Rahman semalam.

Katanya, ia tidak akan berlaku kerana cukai GST hanyalah enam peratus kepada pengguna.

“Oleh itu, lebih baik pengguna memahami apa sebenarnya GSt melalui seminar dianjurkan di pelbagai peringkat,” katanya.

Ripin turut menasihat penduduk untuk peka melalui penerangan seperti dalam seminar bahawa turut terdapat barangan yang tidak dikenakan GST.

“Jangan kita fikir semua barangan dikenakan GST. Sebaliknya ada antara barangan keperluan yang tidak dikenakan cukai berkenaan,” jelasnya lagi.

Beliau pada masa sama memohon pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta kastam untuk turut memantau para peniaga yang mengambil kesempatan terhadap isu GST.

“Ini kerana ada peniaga mengaut keuntungan dengan menaik harga sebelum GST dilaksanakan. Kesudahannya kerajaan yang dipersalahkan,” kata Ripin.

Pada masa sama, beliau meminta peniaga menjalankan perniagaan masing-masing secara jujur dan tidak mengambil kesempatan.

Seminar itu adalah kali kedua untuk bahagian Lambir dan bakal diadakan secara berterusan demi menerangkan GST kepada rakyat.

Advertisement