Anda di sini

Portal Rasmi Wanita PBB dilancar

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli

 

SIMBOLIK: Empiang (dua kanan) menyempurnakan simbolik pelancaran Portal Rasmi Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB di Kuching, semalam. Turut kelihatan Nancy (dua kiri), Fatimah (tengah) dan Livan (kanan).

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengorak langkah ke hadapan dengan melancarkan Portal Rasmi Wanita PBB, semalam.

Portal itu dilengkapi perkembangan berita serta maklumat aktiviti yang telah dianjurkan mahupun yang telah dirangka untuk sepanjang tahun.

Malah, orang ramai juga boleh melihat perkembangan inisiatif yang dijalankan Wanita PBB selari dengan hasrat bagi memastikan matlamat parti dalam memperjuangkan nasib rakyat akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Ketua Wanitanya Dato Sri Empiang Jabu berkata, sudah tiba masanya pergerakan itu menonjolkan diri dan bergerak ke hadapan dengan mewujudkan portal yang berupaya menjadi jaringan maklumat kepada kaum wanita amnya.

“Kita di Pergerakan Wanita PBB sentiasa peka dengan kehendak ramai wanita di luar sana yang ingin mengetahui mengenai aktiviti dan peranan wanita PBB selama ini.

“Justeru dengan adanya portal rasmi ini, saya yakin ia mampu memenuhi kehendak mereka atas dasar perkongsian maklumat terkini, aktiviti yang dianjurkan serta langkah mudah untuk mendaftar nama menjadi ahli wanita PBB,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Portal Rasmi Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, ia dilihat sebagai usaha murni parti dalam menyediakan platform kepada wanita atau sesiapa sahaja untuk mengutarakan sebarang pertanyaan atau berkongsi pandangan dan idea dalam apa jua isu yang relevan dengan parti.

Empiang menambah, portal itu juga mencerminkan pemodenan wanita masa kini selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Ia amat bersesuaian dengan suasana persekitaran masa kini yang menjadikan teknologi maklumat sebagai pilihan jaringan komunikasi utama yang menghubungkan orang ramai di seluruh dunia.

“Wanita PBB tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat sekali gus membina jaringan hubungan dengan golongan sasar seperti Bumiputera wanita Sarawak agar dapat berhubung secara terus dengan wanita PBB menerusi portal rasmi ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Nancy Shukri berkata, penubuhan portal itu juga akan memudahkan golongan wanita yang berada di mana sahaja untuk mendaftar keahlian secara atas talian dengan memuat turun borang yang telah dilampirkan di portal itu.

“Kalau dahulu, wanita yang ingin menyertai PBB harus pergi berjumpa dengan Ketua Cawangan PBB masing-masing. Kini pendaftaran keahlian adalah lebih mudah kerana borang boleh didapati melalui portal secara terus,” jelasnya.

Portal Rasmi Wanita PBB dikendalikan di bawah Biro Multimedia dan Komunikasi Wanita PBB yang diketuai Livan Tajang.

Portal tersebut boleh dilayari di www.wanitapbb.my.

Hadir sama ialah Naib Presiden PBB Datuk Abdul Wahab Aziz, Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (Bumiputera) PBB Datuk Talib Zulpilip dan Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah.

Advertisement