Anda di sini

PBT disaran agar tingkatkan kemudahan khas untuk OKU

Advertisement

ALOR SETAR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran agar meningkatkan kemudahan khas untuk orang kelainan upaya (OKU) terutama yang mengalami masalah penglihatan atau buta bagi memudahkan mereka menjalankan urusan tertentu secara berdikari.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, walaupun sudah banyak yang telah dilakukan untuk golongan OKU, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Soal lampu isyarat yang berbunyi dan laluan-laluan yang digunakan oleh masya-rakat kurang penglihatan, sepatutnya kemudahan ini disediakan supaya mereka boleh berjalan tanpa bantuan.

“Ini juga hak mereka sebenarnya dan kita hendak melihat lebih ramai di kalangan mereka berdikari, oleh itu kita perlu sediakan kemudahan-kemudahan ini,” katanya selepas merasmikan Hari Tongkat Putih Antarabangsa peringkat kebangsaan 2014 di Dataran Wisma Darul Aman di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga mengakui di peringkat negeri, kemudahan yang ada untuk OKU tidaklah lengkap berbanding dengan apa yang ada di bandar raya besar se-perti di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, masih belum terlambat untuk meningkatkan prasarana untuk OKU dan ia boleh diusahakan daripada sekarang.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata penyedia-an laluan khas yang mudah dan selamat di bangunan, siar kaki serta tandas awam merupakan satu kemestian.

“Begitu juga di pasar raya, pusat beli-belah dan jabatan kerajaan, harus disediakan kemudahan untuk orang kelainan upaya agar mobiliti mereka tidak terhalang,” kata-nya.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menerokai bidang-bidang yang membabitkan guna tenaga daripada kalangan golongan OKU yang terlatih.

Mukhriz turut mengumumkan bantuan wang tunai RM10,000 untuk Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). — Bernama

Advertisement