Anda di sini

Izinkan anak pekerja Indonesia sekolah di ladang

Advertisement

Oleh Agnes Tugong

 

SELAMAT MAJU JAYA: Asfia (tengah) menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenangan kepada Djoko sambil disaksikan Awang Tengah (kanan) dan Abang Johari (dua kanan) serta isteri Djoko.

KUCHING: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Djoko Harjanto memohon kepada kerajaan negeri agar membenarkan anak-anak warga republik itu bersekolah di ladang-ladang tempat ibu bapa mereka bekerja.

Permohonan tersebut merupakan hasrat terakhir Djoko sebelum menamatkan perkhidmatannya selama tiga tahun di sini susulan pelantikannya sebagai Duta Republik Indonesia ke Syria, baru-baru ini.

“Masalah persekolahan sudah sekian lama membelenggu anak-anak pekerja rakyat kami yang bekerja di sektor-sektor perladangan di negara ini.

“Untuk itu, saya ingin membuat permohonan secara rasmi kepada kerajaan negeri untuk membenarkan anak-anak pekerja warga Indonesia bersekolah di ladang-ladang tempat ibu bapa mereka berkerja.

“Usah bimbang soal perbelanjaan atau kos yang tinggi kerana kami tidak meminta bangunan sekolah yang mewah cukuplah sekadar disediakan satu tempat yang boleh digunakan untuk anak-anak kami belajar,” ujarnya.

Djoko berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis perpisahan yang dianjurkan khas untuk beliau dan isteri di Hotel Imperial di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta yang lain.

Memandangkan beliau bakal meninggalkan Sarawak untuk menjalankan tugasnya di Syria, Djoko berharap tugasnya sebagai Konsul Jeneral di Kuching akan diteruskan oleh bakal penggantinya yang difahamkan ketika ini masih berkhidmat di Papua New Guinea.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu dan memberi kerjasama yang tidak berbelah bagi kepada beliau sepanjang bertugas di Kuching dari tahun 2012 hingga 2014.

Sepanjang tiga tahun di Kuching, katanya, banyak urusan antara kedua-dua negara telah berjaya dilaksanakan dengan baik terutama membabitkan isu perkahwinan, pekerjaan, undang-undang dan sebagainya.

“Saya mendapat layanan yang cukup baik sepanjang tiga tahun berkhidmat di sini dan saya berharap hubungan baik antara kedua-dua negara ini akan berkekalan dan terus diperkukuhkan pada masa akan datang,” ujarnya.

 

Advertisement