Anda di sini

Tiga suspek Amerika Latin ditahan tiada kaitan godam ATM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Amerika Latin yang ditahan polis dua hari lepas disahkan bukanlah suspek buruan polis berhubung kes godam 17 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) baru-baru ini.

Mereka yang ditahan ketika menginap di sebuah hotel di Jalan Thambipillay, Brickfields itu sebenarnya adalah buruan polis Thailand yang dipercayai terbabit kes pecah rumah di negara itu dan telah melarikan diri ke negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua suspek tidak mempunyai kaitan dengan jenayah godam mesin ATM tetapi mereka dipercayai merancang melakukan kegiatan jenayah pecah rumah di negara ini.

Katanya, penahanan mereka adalah atas maklumat risikan sempadan dan pihak berkuasa di Thailand mengenai penjenayah terbabit dikesan masuk ke negara ini dan berada di ibu kota.

“Mereka (suspek) baru sahaja tiba dari Thailand dan menyeludup masuk ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Isnin lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis upacara pengiktirafan kuda-kuda baharu polis, di Unit Berkuda, Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras semalam.

Khalid berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan negara ASEAN, berkongsi maklumat risikan berkenaan penjenayah yang terlibat kes pecah rumah khususnya warga asing yang masuk ke negara ini.

“Polis kita bekerjasama dengan pihak Aseanapol dalam mengekang kegiatan itu daripada berleluasa di dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini polis masih memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes godam mesin ATM dan polis akan memaklumkan kepada media jika suspek terbabit berjaya diberkas.

Katanya, laporan media yang menyebut kononnya ketiga-tiga suspek terbabit telah ditahan polis adalah tidak tepat.

Dalam perkembangan lain, polis mengakui bahawa memang wujud aktiviti jenayah penyeludupan di Kuala Sepetang, Perak.

“Saya tidak menafikan bahawa jenayah itu memang berlaku di sana, tetapi tidaklah sampai ke tahap wujudnya jenayah seumpama mafia.

Katanya bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau dan meminta orang ramai di kawasan itu supaya menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras segala bentuk aktiviti jenayah yang menyalahi undang-undang negara.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa seorang lelaki berpengaruh di Kuala Sepetang melakukan kegiatan seperti pengedaran dadah, senjata api, rokok dan membawa masuk pendatang asing tanpa izin secara haram. — Bernama

Advertisement